Salam bahagia, dah lama juga aku tak menulis. Sejak kebelakangan ini aku hanya memaparkan semula kiriman e-mail yang aku terima daripada rakan-rakanku.

Tak mengapalah bila ada kelapangan dan idea aku akan menulis. Bila aku terima sebarang e-mail yang menarik untuk dikongsi, akan aku paparkan di sini.

Baru-baru ini aku telah berpeluang menghadiri satu majlis konvokesyen sebuah tadika di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor. Sungguh menarik kerana ada berbagai persembahan, penyampaian sijil tamat tadika dan penyampaian beberapa anugerah khas.

Apabila menyaksikan telatah kanak-kanak ini membuat persembahan, kita merasa amat terhibur walaupun ada yang membuat silap atau menangis di atas pentas. Maklumlah mereka ini baru berumur antara 4 hingga 6 tahun sahaja. Ada ketikanya hati tersentuh apabila kanak-kanak ini berpuisi memuji keagongan Allah dan menyanjung jasa ibu bapa dan guru.

Di majlis tersebut juga kanak-kanak yang berumur 6 tahun telah menerima sijil tamat tadika dengan jubah khas masing-masing. Terfikir juga aku, adakah mereka akan berpeluang memakai jubah tamat pengajian sekali lagi selepas ini.

Di antara mereka pasti ada yang akan berjaya menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi dan berpeluang memakai jubah sekali lagi. Itupun kira-kira 16 tahun dari sekarang. Sebahagian lagi yang lain hari ini merupakan kali pertama dan terakhir memakai jubah tamat pengajian.

Bagi aku bukan jubah atau berjaya ke institut pengajian tinggi yang penting tetapi pengalaman dan perkembangan rohani jasmani kanak-kanak tersebutlah yang lebih utama. Pengalaman hidup mereka dari bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya ke dewasa akan menentukan corak diri dan kehidupan mereka.

Pada majlis tersebut beberapa anugerah khas juga telah disampaikan. Mereka yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam akademi dan yang menonjol secara keseluruhan telah diberi penghargaan. Harap ini akan menjadi pemangkin untuk ibubapa dan kanak-kanak itu sendiri untuk terus berusaha apabila melangkah ke sekolah rendah nanti.

Pada peringkat ini, sebenarnya pencapaian ilmu tidak begitu penting sebaliknya pertumbuhan dan kemahiran pemikiran adalah lebih utama. Galakan, dorongan dan penghargaan akan membantu kanak-kanak ini untuk terus maju dan berani mencuba untuk melangkah di muka bumi yang penuh cabaran dan godaan.

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 29.10.04

0 comments

Post a Comment

Subscribe here