Semalam adalah Ahad kedua bagi bulan Mei dan pada setiap tahun pada hari itu akan disambut Hari Ibu.
Semalam bagi sebahagian wanita yang bergelar ibu adalah seperti hari-hari minggu yang lain. Mereka akan sibuk melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga tanpa ada rasa jemu atau bosan.
Manakala sebahagian yang lain telah diraikan oleh anak-anak samada dibawa menjamu selera di restoran atau makanan yang dimasak sendiri oleh anak-anak di rumah. Ada juga yang menerima jambangan bunga, kek atau hadiah daripada anak-anak. Paling kurang pun mereka akan menerima ucapan Selamat Hari Ibu.
Tidak kiralah bagaimana para ibu ini diraikan yang penting sebenarnya ingatan kita kepada ibu kita. Bukan saja terhad pada hari ibu sahaja tetapi pada setiap masa. Bukan wang ringgit atau hadiah yang menjadi ukuran tetapi ingatan dan masa yang dapat kita luangkan bersama ibu itulah yang paling bernilai.
Bayangkan dari kita dilahirkan, ibu sentiasa mendakapkan dan bersama kita untuk mencurahkan rasa kasih sayang, memastikan segala keperluan kita dipenuhi dan hidup kita gembira. Apalah salahnya jika setelah kita remaja dan dewasa, kita pula memeluk dan mencium ibu kita dengan mesra. Jika tidak dapat setiap hari paling kurang pada hari-hari tertentu seperti hari raya, hari lahir dan hari ibu.
Ingatlah dan luangkan masa untuk ibu sebelum terlambat.
Technorati Tags: nukilan, azhad, keluarga, ibu
0 comments