Pada 13 Julai 2007 yang lalu sebuah helikopter Nuri atau Sikorsky S-61 ataupun H-3 Sea King kepunyaan Tentera Udara DiRaja Malaysia telah hilang semasa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan. Lima hari kemudian pesawat Nuri itu telah dijumpai bersama-sama dengan kesemua anggota TUDM yang turut terkorban dalam nahas tersebut.
Helikopter Nuri
Foto : Berita Harian

Kapten(U) Nor Azlan Termuzi 29 tahun, Kapten(U) Nor Intan Asykeen Mohd Arof 27 tahun, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin 34 tahun, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin 35 tahun, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias 28 tahun dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad 27 tahun telah pun selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing. Semenjak pesawat Nuri ini digunakan oleh TUDM dari tahun 1968 sebanyak 18 kemalangan yang dilaporkan dengan mengorbankan seramai 101 orang.

Kaum keluarga dan sahabat handai kepada 6 anggota yang terkorban tentu merasa kehilangan dengan pemergian secara mengejut ini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Saya sendiri pernah mengalaminya apabila seorang daripada adik saya telah terkorban dalam satu kemalangan kapalterbang. Begitu juga pengalaman dengan laporan berita yang kurang tepat oleh pihak media semasa peristiwa itu juga telah kami alami.

Setiap yang hidup pasti akan mati, kita yang masih bernyawa ini juga akan menyusul mereka yang terdahulu. Segala tentang mereka yang telah mengadap yang maha Esa ini akan tinggal kenangan dan satu lipatan sejarah kehidupan kepada yang masih hidup. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan yakinlah dengan ketentuanNya.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 24.7.07 1 comments

Anuar Hasin pemuda berusia 23 tahun dari Perak telah diumumkan sebagai Juara Akademi al-Quran musim kedua. Ini merupakan percubaan beliau kali kedua dan ternyata usaha serta kesungguhan beliau telah membuahkan hasil. Anuar telah mengalahkan lima peserta akhir lain dalam pertandingan akhir yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu Mohamad Hafas Ali dari Terengganu telah mendapat tempat kedua dan Mohd Muslim Ali dari Wilayah Persekutuan pula tempat ketiga. Tiga lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir ialah Mohd Mawardi Jamaludin dari Kedah, Hanimzah Jalaluddin dari Pahang dan Nor Faizah Panut dari Selangor.

Anuar Hasin Juara AQ2


Anuar yang menjadi juara membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta barangan elektrik bernilai RM20,000. Mohamad Hafas sebagai naib juara menerima wang tunai RM20,000 serta barangan elektrik bernilai RM5,000 dan Mohd Muslim di tempat ketiga mendapat wang tunai RM10,000 dan barangan elektrik bernilai RM3,000.

Satu hadiah tambahan telah diberikan kepada juara, naib juara dan temapat ketiga iaitu pakej mengerjakan umrah yang setiap satu bernilai RM6,000.

Semoga Akademi al-Quran ini akan dapat menarik minat lebih ramai remaja untuk mendekati al-Quran serta mengamalkan isi kandungannya.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 19.7.07 2 comments

Akademi al-Quran musim 2 telah pun sampai ke peringkat akhir. Seramai 6 orang peserta telah telah terpilih ke peringkat akhir daripada 9 orang peserta di peringkat separuh akhir. Pada musim kedua Akademi al-Quran ini seramai 16 orang peserta telah berjaya melayakkan diri setelah sessi uji bakat yang diadakan di 11 lokasi di seluruh negara. Pada musim pertama dulu hanya 12 orang sahaja yang dipilih.

Akademi al-Quran 2 peringkat akhir akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 Julai 2007. Mereka yang akan memperdengarkan bacaan al-Quran pada malam tersebut ialah;

  • Anuar Hasin, 23 tahun
  • Mohamad Hafas Ali, 25 tahun
  • Mohd Muslim Ali, 21 tahun
  • Mohd Mawardi Jamaludin, 18 tahun
  • Hanimzah Jalaluddin, 25 tahun
  • Nor Faizah Panut, 18 tahun
Mereka ini akan diadili seperti biasa iaitu 40% untuk tajwid, 30% untuk qiraat dan 30% untuk tarannum. Walaupun begitu pada peringkat akhir ini ayat al-Quran yang perlu dibaca akan hanya diberitahu semasa mereka berada di atas pentas berbanding semasa peringkat awal dahulu ianya diberi beberapa hari lebih awal. Masa bacaan juga dilanjutkan kepada selama 10 minit, 2 minit lebih daripada peringkat awal.

Johan Akademi al-Quran 2 akan menerima hadiah wang tunai RM30,000, barangan elektrik bernilai RM20,000 dan trofi berbentuk kitab al-Quran diperbuat daripada kristal. Naib johan pula akan menerima wang tunai RM20,000 serta barangan elektrik bernilai RM5,000 manakala tempat ketiga menerima wang tunai RM10,000 berserta barangan elektrik bernilai RM3,000.

Sementara itu jika ingin membaca atau mendengar al-Quran secara online bolehlah pergi laman web Holy Quran, IslamCity-Holy Quran atau Quran Explorer. Bagi mereka yang berminat untuk belajar qiraat dan tarannum secara online dan percuma pula boleh mendapatkannya di Panduan Tarannum dan Qira'at Kelas Kemahiran Al-Quran.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 9.7.07 6 comments

Enam bulan sudah berlalu bagi tahun 2007 dan mereka yang masih bersekolah dan akan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) masanya sudah semakin hampir. Ketika ini sudah pasti semakin rancak persediaan yang dilakukan untuk menyiapkan diri.

UPSR akan berlangsung dari 3 sehingga 5 September. PMR pula dari 1 sehingga 5 Oktober. Manakala SPM bagi ujian amali akan dijalankan dari 24 sehingga 26 September dan ujian bertulis dari 12 November sehingga 5 Disember. Sementara itu bagi STAM ujian lisannya akan diadakan dari 16 sehingga 20 Julai dan dari 23 sehingga 27 Julai. Ujian bertulis untuk STAM pula adalah dari 22 sehingga 24 Oktober dan dari 29 sehingga 30 Oktober.

Bagi membantu menambahkan persiapan kepada peperiksaan-peperiksaan ini, para pelajar boleh juga mengunjungi beberapa laman web yang menyediakan soalan-soalan latihan dan panduan belajar secara percuma. Di antaranya ialah MyGfL, mySchoolNet, Portal Pendidikan Utusan, Web Sekolah Berita Harian dan Cikgu iBank.

Didoakan kepada semua yang akan menduduki peperiksaan akan berjaya dengan cemerlang.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 1.7.07 0 comments

Subscribe here