Esok umat Islam akan melangkah ke bulan Ramadhan dan bermulalah ibadat puasa, salah satu rukun Islam. Pada Ramadhan 1427 yang lalu saya ada bercerita tentang nostalgia kisah di bulan puasa. Bulan Ramadhan ini memang dinantikan oleh kebanyakan orang termasuk yang bukan Islam. Mereka yang bukan beragama Islam biasanya akan sama-sama mengunjungi tempat-tempat jualan juadah berbuka puasa untuk mendapatkan berbagai jenis makanan. Walaupun begitu janganlah kita rambang mata tetapi ikutilah Panduan Memilih Makanan Sihat di bulan Ramadhan ini.

Manakala bagi umat Islam perkara yang mesti diutamakan ialah kualiti ibadat puasa itu sendiri dan menambahkan ibadat yang lain. Alangkah sedihnya ada dikalangan umat Islam yang memberi pelbagai alasan untuk tidak berpuasa dan tidak merebut peluang meningkatkan amal ibadat. Malah mereka yang perlu mengambil ubat setiap hari pun sepatutnya tidak ada masalah untuk berpuasa sebab jadual mengambil ubat boleh disesuaikan. Dr Rahmat Awang dari Universiti Sains Malaysia ada memberi Panduan Mematuhi Preskripsi dalam Bulan Puasa.

Begitu juga kepada ibu-ibu yang sedang hamil tidak perlu risau kerana ada Panduan Kehamilan di Bulan Ramadhan. Di samping itu para ibu yang sedang menyusukan anak juga boleh mengikuti Petua Menyusu Bayi Semasa Ramadhan. Sementara akhbar Utusan Malaysia dan MStar Online pula ada menyiarkan Panduan Berpuasa Penghidap Diabetes dan Panduan Untuk Pesakit Diabetes Berpuasa. Jelaslah bahawa ibadat puasa ini boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja, ianya banyak bergantung kepada tahap iman kita.

Bagi mereka yang sihat pula mungkin boleh membaca Panduan Kesihatan di bulan Ramadhan dan Panduan Jasmani Semasa Berpuasa. Ibadat puasa ini banyak kebaikannya dari segi kesihatan dan memberi peluang untuk membaiki diri. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh menjadikan bulan puasa sebagai titik permulaan untuk mengurangkan berat badan. Begitu juga kepada mereka yang berniat untuk berhenti merokok bolehlah memulakannya di bulan Ramadhan ini. Para perokok bolehlah membaca Puasa Cara Terbaik Berhenti Merokok dan Puasa Boleh Atasi Ketagihan Merokok sebagai pencetus usaha berhenti merokok.

Jika ada sesuatu yang kurang pasti tentang ibadat puasa bolehlah membaca Persoalan Semasa Berkaitan Ibadah di bulan Ramadhan oleh Datuk Wira Hj. Rashid Redza bin Hj Md. Saleh. Sebagai bacaan tambahan saudara Franky Lahir di marchsya blog ada menyediakan pautan e-book berkenaan Panduan Ibadah Ramadhan. Sebenarnya ada banyak lagi cerita tentang puasa ini cuma perlu dicari sahaja.

Perlulah diingat bahawa berpuasa bukan sahaja bermaksud menahan daripada makan dan minum di siang hari tetapi tubuh badan dan semua deria kita mestilah dikawal juga. Pastikan sahsiah diri kita di bulan Ramadhan ini jauh lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Rebutlah peluang yang disediakan di bulan yang penuh berkat ini sebab tahun hadapan belum tentu kita dapat bertemunya.

Bersempena bulan puasa ini, saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca blog ini jika ada ada sebarang kesalahan samada yang tidak disengajakan maupun yang disengajakan secara langsung atau tidak langsung. Semoga kita akan sama-sama dapat menjalani bulan puasa ini dengan melakukan amal ibadat secara khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah Subhana wa Ta’ala, insyaAllah.

“Sesungguhnye yang baik itu adalah dari Allah Subhana wa Ta’ala manakala yang buruk datang dari diri kita sendiri.” Wallahua’lam.

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 12.9.07

5 comments

  1. Selamat menunaikan ibadah puasa.

     
  2. Azhad Says:
  3. Sama-samalah kita memeriahkan Ramadhan ini dengan pelbagai ibadah.

     
  4. NurJenna Says:
  5. Selamat menyambut bulan Ramadhan.

     
  6. Ikmal Says:
  7. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak..

    Minta izin untuk dipostkan di blog saya ya..

    Syukran

     
  8. Azhad Says:
  9. iman taqwa,
    Silakan...

     

Post a Comment

Subscribe here