Syawal tahun ini telah pun hampir ke penghujungnya dan suasana di kampung-kampung mungkin telah pun kembali kepada keadaan asal seperti hari-hari biasa. Sebaliknya di bandar-bandar pula saban hari terutama hujung minggu, sibuk diadakan rumah terbuka meraikan saudara-mara dan sahabat-handai. Begitulah lumrahnya setiap tahun yang biasa kita semua lalui.Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar

Sebenarnya di bulan Syawal ini adalah peluang terbaik untuk kita mengambil kesempatan untuk mengeratkan hubungan yang renggang dan memesrakan ikatan yang sedia ada. Mereka yang muda menghormati yang tua dan yang tua menyayangi yang muda. Segala selisih faham dan persengketaan keluarga atau sahabat hendaklah diselesaikan dan didamaikan.

Bermaaf-maafanlah dengan rasa tulus ikhlas dan insaf dengan kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan. Bukan sekadar memenuhi kebiasaan bertemu di Aidil Fitri ini. Janganlah rasa malu atau ego untuk meminta maaf dan hanya mengharapkan orang lain sahaja yang meminta maaf dengan kita. Begitu juga janganlah pula keras hati atau sombong untuk memberikan kemaafan kepada mereka yang memohon.

Setiap orang pasti ada membuat kesilapan dalam hidup ini, termasuklah diri kita sendiri. Malah ada juga perkara yang kita sangka betul tetapi sebaliknya menyinggung atau menyakiti orang lain.

Masa terus beredar dan umur kita akan terus meningkat malah bilakah kita akan mengembuskan nafas terakhir pun tidak ketahui. Kesalahan dan dosa kita dengan Yang Maha Esa boleh kita memohon maaf terus kepadaNya. Bagaimana dengan kesalahan kita sesama manusia apabila orang yang berkenaan telah meninggal dunia?

Oleh itu janganlah bertangguh untuk meminta maaf, janganlah menunggu hari raya sahaja baru nak bermaafan. Malah kita patut sentiasa memaafkan semua orang yang berada di sekeliling kita tanpa menunggu mereka datang kepada kita.

Semoga Syawal kali ini akan memberi kita satu keinsafan dan dapat membawa kehidupan kita yang lebih bermakna. Nukilan Jejari Azhad ingin memohon maaf jika ada sebarang penulisan di sini yang secara langsung atau tidak langsung yang kurang disenangi. Walaupun begitu terima kasih kerana menjadi pembaca blog ini. Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin.

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 22.10.08

1 Responses to Hari Raya Aidil Fitri 1429

  1. pliner Says:
  2. Very beautiful architecture

     

Post a Comment

Subscribe here