Hari ini sudah 10 hari Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau dikenali sebagai Yin berumur 5 tahun hilang di sekitar Kompleks Pasaraya SOGO yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Dia disedari hilang oleh bapanya Shamsul Ghazali Shamsudin, 34 tahun pada kira-kira jam 2 petang ketika mereka sekeluarga yang berasal dari Medan Klebang Restu, Chemor, Perak sedang membeli-belah di situ.

Yin memakai baju kemeja kelabu berkotak dan seluar jeans biru ketika hilang kemungkinan tidak diculik berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan beliau berjalan keluar sendirian. Yin kelihatan bermain di tepi tangga bergerak di dalam kompleks tersebut ketika ibubapa beliau sibuk memilih pakaian. Rakaman CCTV selama 17 minit itu menunjukkan Yin menaiki tangga bergerak dan turun dari tingkat dua ke tingkat bawah, sebelum dilihat berjalan keluar seorang diri melalui pintu keluar menghala ke Jalan Raja Laut.

“Setiap kali mahu memejamkan mata, saya tertanya-tanya di mana Yin tidur malam ini. Bila nak menyuap nasi, saya teringat sama ada anak saya dah makan ke belum... saya berharap sesiapa yang menjaga Yin... pulangkan anak saya,” kata Nur Amizah, ibu Yin yang berumur 25 tahun.

Menurut ibu Yin lagi , Yin seorang anak yang aktif tetapi tidak lancar bertutur. Yin bertutur pelat menyukarkan orang luar untuk memahaminya. Yin juga tidak pandai menjawab soalan jika ditanya. Walaupun begitu Yin amat berdikari, dia boleh memakai baju dan seluar sendiri selain pandai menjaga kebersihan diri. Dia juga berani dan tak takut orang asing

Sementara itu seorang pengarah urusan sebuah syarikat menyumbangkan RM6,000, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) RM2,000 dan Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong, RM2,000. Tawaran hadiah wang tunai itu bagi mana-mana pihak yang menyerahkan Yin kepada pihak polis.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin diminta menghubungi bapa Yin, Shamsul di talian 012-5090451 atau ibu Yin, Nor Amizah di 012-3749647. Anda juga boleh menghubungi Biro Aduan MCA di talian 03-21615678 atau Sivapriya di nombor 016-6962200 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Bersama-samalah kita berdoa agar Yin selamat dan segera dapat kembali kepangkuan keluarga beliau.

TERKINI : Yin Telah Dijumpai

Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 9.4.07

1 Responses to Muhammad Nazrin @ Yin

  1. NurJenna Says:
  2. Didoakan Yin sihat dan selamat, semoga segera diketemukan dengan keluarganya.

     

Post a Comment

Subscribe here