Semalam Yang di Pertuan Agong yang ke 13 telah ditabalkan di satu majlis yang diadakan di Balairong Seri, Istana Negara. Tunku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang berumur 45 tahun ini merupakan Raja Melayu termuda menaiki tahta iaitu pada usia 36 tahun dan Yang di Pertuan Agong kedua termuda selepas Raja Perlis yang ditabalkan pada usia 41 tahun.


Pertabalan di Istana Negara ini merupakan kali yang terakhir kerana selepas ini ianya akan diadakan di Kompleks Istana Negara yang baru di Jalan Duta. Yang di Pertuan Agong dijangka akan mula bersemayam di istana baru ini dalam tahun 2009. Sebenarnya pertabalan ini hanya mula dibuat di Istana Negara pada tahun 1980 sebelum itu istiadat ini dilangsungkan di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang. Istana Negara ini pada asalnya adalah sebuah banglo milik jutawan China, Chan Wing yang dibina dalam tahun 1928 dengan kos RM150,000. Banglo itu telah dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957.

Secara kebetulan Perdana Menteri dan Yang di Pertuan Agong pertama Malaysia mempunyai nama yang sama iaitu Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Abdul Rahman Putra. Malah sistem pemilihan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang yang memerintah daerah mengikut adat Minangkabau telah memberi inspirasi kepada Perdana Menteri pertama untuk menghasilkan sistem giliran Yang di Pertuan Agong.

Di antara tugas dan kuasa rasmi Yang di Pertuan Agong adalah memanggil, memberhenti dan membubarkan Parlimen. Mempunyai kuasa dan budi bicara melantik Perdana Menteri dan atas nasihat Perdana Menteri, melantik menteri-menteri sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri. Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat semua peringkat.

Di samping itu Baginda juga menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, selain negeri baginda sendiri. Sebagai Ketua Negara, berkuasa melantik hakim, mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang sistem beraja dan Yang di Pertuan Agong Malaysia bolehlah pergi ke sini.

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 27.4.07

1 Responses to Yang Di Pertuan Agong

  1. judd. Says:
  2. Interested in Speed Dating? Check out my blog for more details: http://judd.scravius.com/

     

Post a Comment

Subscribe here