Kini telah tiba bulan yang terakhir bagi tahun 2007. Para pelajar semuanya sedang bercuti ketika ini. Begitu juga yang bekerja ada yang mengambil kesempatan musim cuti sekolah ini untuk menghabiskan cuti tahunan yang tidak boleh dibawa ke tahun hadapan. Mereka yang bekerja sendiri pula pun tidak ketinggalan yang bercuti supaya dapat bersama-sama dengan anak-anak. Secara amnya memang ramai yang bercuti di hujung tahun ini.

Tidak kiralah status anda samada sudah berkeluarga maupun masih bujang, cuti patutlah dirancang supaya kita akan mendapat memanfaatkannya dengan baik. Salah satu perkara yang patut dipertimbangkan ialah bagaimana masa cuti ini boleh mengeratkan ikatan kekeluargaan. Bagi ibubapa yang bekerja, semasa anak-anak bercuti inilah peluang untuk bersama-sama mereka dengan lebih mesra lagi.

Untuk bersama-sama anak-anak tidak semesti dilakukan dengan pergi bercuti ke tempat-tempat percutian atau peranginan sahaja. Malah di rumah juga boleh dilakukan berbagai aktiviti bersama sepanjang satu hari bercuti.

Bagi yang beragama Islam mungkin boleh dimulakan dengan sembahyang subuh berjemaah dan juga empat waktu sembahyang yang berikutnya. Selepas itu pastikan setiap waktu makan bermula dari sarapan dilakukan bersama-sama. Masa yang lain hendaklah diisikan dengan aktiviti yang melibatkan semua orang; ibu, bapa dan semua anak-anak. Sebenarnya jika kita pandai mengatur masa dan aktiviti harian, memang banyak yang boleh dilakukan bersama-sama seperti yang pernah saya tulis terdahulu di ikatan kekeluargaan.

Bagi yang bujang pula janganlah bila bercuti hanya hendak menghabis masa bersama-sama kekasih hati atau kawan-kawan sahaja. Apa kata kalau berpakat dengan adik beradik lain untuk mengambil cuti pada masa yang sama dan berkumpul ramai-ramai. Mungkin boleh diaturkan untuk pergi berkelah dan bersantai bersama-sama. Selain itu boleh juga berkumpul di rumah ibubapa atau salah seorang adik beradik. Selain merapatkan hubungan ibubapa dengan anak-anak, ikatan persaudaraan antara adik-beradik, biras dan sepupu juga boleh terus disemai.

Dewasa ini dengan masalah disiplin pelajar dan gejala sosial yang berleluasa di kalangan remaja salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan memperkukuhkan institusi keluarga. Jika setiap unit keluarga itu dianggotai oleh ahli yang baik sudah tentu akan menjurus kepada membentuk satu masyarakat yang harmoni.

Bilakah kali terakhir anda berkumpul bersama-sama ibubapa dan adik beradik selain semasa hari raya?

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 1.12.07

0 comments

Post a Comment

Subscribe here