Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis menjadi perhatian orang ramai apabila beliau hilang semasa sedang menuruni Gunung Tahan pada 7 Februari 2008 lalu. Nur Umaisarah atau lebih dikenali sebagai Umai telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Sungai Putih, Jerantut.

Nur Umaisarah Sameaun @ UmaiUmai adalah salah seorang daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program ekspedisi Gunung Tahan unit beruniform Komander Kesatria anjuran UiTM. Mereka telah mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang. Kehilangan Umai hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, 7 Februari.

Usaha mencari Umai telah dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan anggota operasi melebihi 150 orang termasuk Senoi Praaq, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Komando Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Komando 69 dan unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Umai akhirnya telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di Kuala Sungai Putih, Jerantut. Selepas ditemui Umai telah dibawa ke Kem Kuala Sungai Putih dekat Jerantut, sebelum diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dari Jerantut dan tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan jam 10.30 pagi keesokan harinya.

Ketika dijumpai oleh renjer berkenaan, Umai berada dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih. Jarak Umai ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat dan agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Umai yang menerima rawatan di Wad DiRaja HTAA, atas ihsan Sultan Pahang kelihatan kurus dan cengkung, disahkan doktor dalam keadaan sihat dan stabil, tetapi mengalami luka dan calar pada badan, lengan serta kaki.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 28.2.08 4 comments

Kementerian Pelajaran pada tahun lepas ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Baru-baru ini Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menetapkan tarikh baru untuk semua peperiksaan umum di Malaysia.

Jadual baru peperiksaan tersebut adalah seperti berikut;

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)

Tarikh : 9, 10, 11 September 2008

Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Tarikh: 13, 14, 15 Oktober 2008 dan 4, 5 November 2008
Tarikh peperiksaan PMR 2008 telah diubah sila rujuk Tarikh Baru PMR.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tarikh: 11 November - 6 Disember 2008
Untuk maklumat lanjut sila rujuk Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2008.

Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU)

Tarikh: 24, 25 Jun 2008

Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

Tarikh: 20, 21, 22, 28, 29 Oktober 2008


Tujuan utama anjakan tarikh peperiksaan ini merupakan satu usaha kerajaan untuk membendung masalah ponteng sekolah yang berleluasa setiap kali selepas peperiksaan umum. Paling ketara ialah bagi peperiksaan PMR di mana ianya telah dibahagikan kepada dua iaitu pada pertengahan Oktober dan awal November. Blog ini ada bercerita tentang ponteng adalah antara masalah disiplin pelajar sekolah sebelum ini.

Walaupun begitu sejauh mana berjayanya rancangan ini akan dapat dilihat pada penghujung tahun nanti. Sementara itu kepada mereka yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STAM pada hujung tahun sepatutnya sudah mula membuat persiapan daripada sekarang. Rancanglah masa yang ada ni untuk memaksimumkan waktu untuk mengulangkaji.

Technorati Tags: , , , , , ,





Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 24.2.08 2 comments

Hari ini 21 Februari 2008 sudah lebih 40 hari Sharlinie Mohd Nashar 5 tahun hilang di taman permainan kanak-kanak berhampiran dengan rumahnya. Pihak polis telah pun memberhentikan usaha mencari daripada rumah ke rumah tetapi cuma akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Walaupun begitu ini tidak bermakna kes ini telah ditutup.

di mana Sharlinie?

Pada masa yang sama ibubapa Sharlinie, Mohd Nashar dan Suraya terus berharap semua yang berkenaan termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan orang ramai tidak berputus asa dalam usaha mengesan anak mereka. Setakat ini pelbagai usaha telah dilakukan samada melalui risikan polis, cara tradisional dan pengedaran beribu-ribu poster tetapi tiada maklumat yang dapat membantu mengesan Sharlinie.

Paling terbaru adalah serbuan pihak polis ke sebuah rumah di Flat Sri Sabah. Cheras, Kuala Lumpur setelah mendapat maklumat kemungkinan Sharlinie disembunyikan di situ. Walaupun begitu operasi yang melibatkan sekumpulan 20 pegawai dan anggota pasukan khas itu tidak menemui sebarang hasil yang positif. Difahamkan seorang profesor madya matematik mendakwa beliau mempunyai kepandaian mencari orang hilang melalui nombor telah memberi maklumat tentang rumah yang diserbu itu.

Kes cubaan menculik yang berlaku di Puchong dan Klang baru-baru ini mungkin boleh memberi petunjuk baru dalam usaha mengesan kedudukan Sharlinie. Ada kemungkinan salah satu daripada kes tersebut atau kedua-duanya dilakukan oleh orang yang sama menculik Sharlinie.

Kes di Puchong pada 31 Januari pukul 9 malam apabila seorang lelaki cuba menculik 2 orang kanak-kanak perempuan yang ketika itu bersama-sama ibubapa mereka di sebuah restoran. Cubaan tersebut gagal apabila seorang wanita menjerit sebelum sempat kanak-kanak tersebut dilarikan dengan sebuah van.

Manakala satu lagi kes berlaku pada 27 Januari pukul 8 malam di hadapan pusat membeli belah Klang Parade, Klang telah digagalkan oleh seorang bekas anggota polis yang kebetulan lalu di situ. Beliau telah nampak seorang lelaki bertopi keledar bersama rakannya yang menaiki motosikal mengekori kanak-kanak tersebut. Budak perempuan tersebut telah menjerit apabila tangannya telah dicapai oleh lelaki itu. Apabila ditegur lelaki tersebut melepaskan budak perempuan itu dan memecut dengan motornya.

Pihak polis telah pun mempunyai dua fotofit yang baru tetapi ianya tidak akan diedarkan kepada orang ramai buat masa ini. Ini adalah kerana fotofit ini tidak sama dengan fotofit yang dikeluarkan pada 9 Januari lalu dan pihak polis tidak mahu mengelirukan orang ramai. Buat masa ini pihak polis mempunyai perancangannya yang tersendiri bagi meningkatkan gerakan mengesan Sharlinie Mohd Nashar.

Dilaporkan juga dua orang lelaki dan seorang wanita telah datang menemui bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, mereka mendakwa mampu membantu kes kehilangan Sharlinie dan hanya akan mendedahkan maklumat itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Salah satu sebab mengapa Sharlinie sukar dikesan mungkin kerana rupa parasnya sekarang tidak serupa dengan gambar posternya. Gambar Sharlinie yang telah botak dan bertudung boleh dilihat di Sharlinie Lima Tahun Hari Ini.

Marilah kita sama-sama terus berdoa agar adik Sharlinie selamat dan akan dapat kembali bersama-sama keluarganya, insyaAllah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 21.2.08 3 comments

Pilihan raya umum 2008 akan diadakan pada 8 Mac ini dan seramai 10,922,139 orang rakyat Malaysia adalah layak untuk mengundi pada hari tersebut. Mereka yang layak ini adalah rakyat Malaysia yang telah berumur 21 tahun ke atas dan telah mendaftarkan diri mereka untuk menjadi seorang pemilih.

03 8885 6600

Bagi pilihan raya umum ke 12 ini daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 lalu akan digunakan. Ini bermakna hanya mereka yang telah mendaftar pada atau sebelum 31 Disember 2007 sahaja boleh mengundi. Manakala mereka yang mendaftar pada dan selepas 1 Januari 2008 terpaksa menunggu pilihan raya yang datang untuk melaksanakan hak anda.

Bagi mereka yang telah berumur 21 tahun tetapi langsung tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pemilih, anda tidak akan layak untuk mengundi. Sebenarnya mudah sahaja untuk mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Pendaftaran boleh boleh dibuat di mana-mana pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya atau pejabat-pejabat pos berkomputer atau kaunter-kaunter sementara SPR yang dibuka di tempat-tempat awam.

Menjelang pilihan raya umum kali ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyediakan Pusat Panggilan SPR 03-8885 6600 untuk orang ramai. Pusat panggilan ini bagi memudahkan orang ramai menyemak samada nama mereka tersenarai dalam Daftar Pemilih yang terbaru. Ini penting untuk mereka yang baru mendaftar dan tidak pernah mengundi sebelum ini.

Mereka yang pernah mengundi pun boleh menyemak nama mereka untuk kepastian, lebih-lebih lagi jika mereka ada membuat perubahan alamat dalam rekod daftar pemilih. Maklumat yang boleh diperolehi daripada pusat ini ialah kawasan mengundi untuk Parlimen dan Negeri, pusat mengundi, saluran peti undi, nombor siri pemilih dan waktu mengundi dengan hanya menyatakan nombor kad pengenalan.

Pusat Panggilan SPR ini akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari sehingga ditamatkan perkhidmatannya pada pukul 5 petang 8 Mac 2008. Maklumat yang sama boleh juga diperolehi sepanjang tahun dengan melayari laman web Surahanjaya Pilihan Raya di Semak Daftar Pemilih.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 17.2.08 3 comments

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa bagi Pilihan Raya Umum ke 12 akan diadakan dengan tarikh penamaan calon pada hari Ahad 24 Februari dan tarikh pengundian pada hari Sabtu 8 Mac. Ini telah dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Ab. Rashid Ab.Rahman di satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya.

Pilihan Raya UmumPilihan raya umum 2008 ini akan melibatkan pertandingan untuk merebut sebanyak 222 kerusi Dewan Rakyat untuk Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk. Ini tidak termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana telah mengadakan pilihan raya negeri dalam tahun 2006.

penamaan calon 24 Februari

Pilihan Raya Umum Ke12 yang akan diadakan pada hari Sabtu 8 Mac 2008 ini memberi tempoh berkempen selama tigabelas hari. Ini sebenarnya tempoh yang paling lama berbanding dengan beberapa pilihan raya yang lalu. Pilihan raya umum 2004 dahulu cuma lapan hari, pilihan raya umum 1999 pula sembilan hari dan pilihan raya umum 1986, 1990 dan 1995, 10 hari.

pengundian 8 Mac

Mengikut rekod tempoh berkempen yang paling lama ialah semasa pilihan raya umum 1955 iaitu 42 hari. Selepas itu tempoh berkempen telah dikurangkan pada setiap kali pilihan raya umum di mana pada pilihan raya umum 1959, 1964, 1969 35 hari, 1974 16 hari, 1978 17 hari dan 1982 15 hari.

Disepanjang tempoh berkempen ini kita akan dapat menyaksikan kesemua parti politik yang bertanding akan mengeluarkan kenyataan dan hujah kenapa pengundi mesti memilih mereka dan bukannya parti lawan. Berbagai teknik dan usaha akan dilakukan bagi menyokong perjuangan masing-masing.

Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 terdapat seramai 10,922,139 pengundi yang layak mengundi iaitu 10,701,054 merupakan pengundi biasa dan 221.085 pula adalah pengundi pos. Hanya mereka yang namanya terdapat dalam daftar tersebut sahaja yang boleh mengundi pada 8 Mac kelak.

Mereka inilah yang akan memegang amanah untuk memilih wakil untuk membentuk kerajaan selama lima tahun lagi di peringkat negara dan negeri. Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi daripada 219 kerusi di peringkat Parlimen dan 453 kerusi daripada 505 kerusi diperingkat negeri di mana hanya kerajaan negeri Kelantan tidak diterajui oleh Barisan Nasional tetapi PAS.

Bagaimanakah pula keputusan pilihan raya umum ke 12 ini nanti? Semuanya akan terjawab pada awal 9 Mac dan penentunya adalah undi rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 15.2.08 1 comments

Tanda tanya yang telah berlegar beberapa minggu kebelakangan ini telah terjawab pada tengahari 13 Februari 2008. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memilih tarikh ini untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 12 diadakan. Pengumuman ini telah dibuat pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dari pejabat beliau di Putrajaya.

Pilihan Raya UmumPada masa yang sama semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak juga dinasihatkan agar dibubarkan supaya pilihan raya negeri boleh dijalankan secara serentak. Perdana Menteri telah mengadap Yang di Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin pada sebelah paginya untuk mendapat perkenan baginda.

ini pilihan raya ke 12

Satu penggal Parlimen bersamaan dengan lima tahun tetapi selepas pilihan raya umum 1969, Parlimen sering dibubarkan awal untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Begitu juga kali ini penggal Parlimen sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 depan dan ini bermakna ianya dibubarkan 15 bulan lebih awal.

Perlembagaan Persekutuan ada menggariskan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, pilihan raya telah berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja dari tarikh Parlimen dibubarkan. Pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 umpamanya dijalankan dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum kali ke 12 ini. Manakala semasa pilihan raya umum 2004 yang lalu, sejumlah 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri telah menjadi rebutan.

Pada ketika itu Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Bebas masing-masing satu kerusi. Manakala di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional memperolehi 453 kerusi, PAS 36 kerusi, DAP 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi.

Difahamkan terdapat kira-kira 700,000 orang pengundi baru daripada sejumlah 10.9 juta pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Para pengundi boleh menyemak daftar pemilih secara online untuk memastikan tempat mengundi dan nama masing-masing ada tersenarai. Untuk pertama kalinya peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian akan diperkenalkan.

Tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi untuk pilihan raya umum ke 12 ini akan hanya diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya bermesyuarat. Walaupun tarikhnya belum diketahui semua parti politik pasti telah pun mengerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.2.08 1 comments

Sebelum ini saya ada menulis tentang beberapa masalah disiplin pelajar walaupun sekolah baru sahaja dibuka selama tiga minggu pada tahun ini. Cerita bagaimana seorang pelajar yang maut setelah jatuh daripada tingkat dua sekolahnya, ketua pengawas dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga mendapat jahitan di kepala dan kisah seorang pelajar tingkatan satu yang dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan dua dan tiga ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Pelajar Sekolah.

Sementara itu pada tahun lepas pula saya ada menulis tentang beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk menanggani masalah disiplin ini. Cerita tentang bagaimana pentingnya peranan ibubapa, keluarga, sekolah dan rakan sebaya. Malah arah tuju sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada peperiksaan ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Sekolah.

ponteng sekolah

Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.

Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.

Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.

Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.

Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.

Pada tahun lepas Kementerian Pelajaran ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Perubahan yang dicadangkan ini juga membabitkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila ianya dilaksanakan tahun ini pihak kementerian berharap masalah ponteng sekolah akan dapat dibendung.

Semoga secara beransur-ansur masalah disiplin pelajar sekolah ini akan dapat dikurangkan. Di masa akan datang saya akan menyentuh tentang cara terbaik untuk mengendalikan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 9.2.08 11 comments

Bermula dengan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri sebagai juara Akademi al-Quran yang pertama dan diikuti oleh Anuar Hasin yang bergelar juara bagi musim yang kedua. Kini pencarian untuk peserta dan seterusnya juara bagi Akademi al-Quran musim ketiga telah pun bermula. Uji bakat rancangan Akademi al-Quran musim ketiga sedang berlangsung sekarang di beberapa lokasi.

Berikut adalah senarai tarikh dan lokasi uji bakat untuk Akademi al-Quran 3;

2 & 3 Februari 2008
Perkampungan Hadhari, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Terengganu
5 & 6 Februari 2008
Balai Islam Kota Baharu, Kota Baharu, Kelantan
9 & 10 Februari 2008
Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah
12 & 13 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri, Georgetown, Pulau Pinang
15 & 16 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
18 & 19 Februari 2008
Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor
21 & 22 Februari 2008
Masjid Al-Azim, Melaka
24 & 25 Februari 2008
Dewan Kompleks Agama Islam, Johor Bahru, Johor
28 & 29 Februari 2008
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang

Mereka yang berminat untuk menyertai Akademi al-Quran 3 jangan lupa untuk menghadiri uji bakat ini. Warganegara Malaysia yang berumur antara 15 sehingga 25 tahun layak untuk menghadiri sesi uji bakat yang disenaraikan di atas.

Akademi Al-Quran 3 peringkat akhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Jun 2008.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 5.2.08 1 comments

Hari ini sepatutnya adalah hari yang menggembirakan bagi Sharlinie dan keluarganya. Lima tahun yang lalu pada hari ini Sharlinie telah dilahirkan. Setelah 21 hari kanak-kanak yang berumur 5 tahun ini hilang belum ada lagi tanda-tanda dia akan dijumpai. Sudah puas ibu dan bapa Sharlinie merayu kepada orang yang bertanggungjawab menculik anak mereka supaya memulangkan semula Sharlinie.
Sharlinie Mohd Nashar
Tanpa sebarang majlis sambutan cuma ingatan kepada anak yang disayangi sahaja. Tiada kek, tiada hadiah, tiada suasana riuh suara kanak-kanak cuma rasa rindu dengan doa mengharapkan kepulangan yang dinanti-nanti. Ulangtahun kelahiran Sharlinie kali ini pasti menyayatkan hati keluarganya. Khabarnya majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat akan diadakan.

Setakat ini beratus ribu poster telah diedarkan dan berbelas ribu rumah yang telah diperiksa. Liputan yang meluas media cetak dan elektronik memastikan semua rakyat Malaysia tahu bahawa seorang kanak-kanak berumur 5 tahun telah hilang. Talian khas 1800-88-5464 juga telah diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai Sharlinie.
Sharlinie Mohd Nashar
Sharlinie Mohd Nashar
Sebenarnya orang ramai boleh menjadi lebih perihatin dengan lebih peka terhadap apa yang berlaku di kawasan setempat masing-masing terutamanya jiran-jiran terdekat. Sharlinie tentu disorok di suatu tempat dikalangan kita dan mereka yang berhampiran patut ada melihat atau mendengar sesuatu yang mencurigakan.
Sharlinie Mohd Nashar
Jika anda adalah jiran itu, segeralah hubungi talian khas Sharlinie di 1800-88-5464 supaya kesangsian anda itu akan terjawab. Anda juga mungkin orang yang akan menemukan semula seorang anak dengan seorang ibu yang merinduinya.

Nota: Terima kasih kepada Siti Zabidah yang menghantar melalui emel gambar-gambar Sharlinie di atas yang diperolehi daripada wahdi.blogspot.com


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 30.1.08 3 comments

Bekas Presiden Indonesia, Suharto telah mengembuskan nafas terakhir di sisi enam orang anaknya pada pukul 1.10 petang 27 Januari 2008 waktu tempatan atau 2.10 petang waktu Malaysia akibat kegagalan pelbagai organ dalaman selepas keadaan kesihatannya berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina, Jakarta Selatan pada 4 Jan lepas.

Presiden SuhartoPengumuman kematian Suharto telah dibuat oleh seorang pegawai polis, Mejar Dicky Sondani kepada pemberita dan bekas Menteri Setiausaha Negara Indonesia Moerdiono melalui siaran radio tempatan ke seluruh negara itu sejurus selepas pasukan Doktor Presiden yang merawat Suharto mengesahkan kematian bekas presiden itu.

Haji Muhammad Soeharto atau Suharto telah dilahirkan pada 8 Jun 1921 di Yogyajarta. Allahyarham Suharto telah berkahwin dengan Siti Hartinah atau Ibu Tien dan mempunyai enam orang anak iaitu Siti Hardijanti Rukmana atau Tutut, Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Titiek, Hutomo Mandala Putra atau Tommy dan Mamiek.

Allahyarham Suharto telah mula memegang jawatan Presiden Indonesia bermula dari tahun 1967 mengambil alih kuasa daripada Presiden Indonesia yang pertama, Soekarno. Allahyarham memegang kuasa sehingga tahun 1998 dengan menyerahkan tampuk pimpinan kepada B.J. Habibie, Naib Presiden Republik Indonesia ketika itu. Allahyarham terpaksa melepaskan kuasa berikutan huru-hara dan tunjuk perasaan besar-besaran yang tercetus akibat krisis ekonomi Asia 1997-1998 serta tekanan politik dan dari pihak tentera.

Di awal pemerintahan selama 32 tahun itu, Allahyarham telah memperkenalkan Ketertiban Baru atau Orde Baru dan juga menamatkan kempen Ganyang Malaysia. Pelbagai pihak masih berdebat mengenai pendekatan Allahyarham ketika menerajui pemerintahan Indonesia yang turut memperlihatkan negara itu menikmati pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

Selepas tidak lagi menjadi orang nombor satu di Indonesia, Allahyarham lebih banyak menghabiskan masa yang terluang di kediamannya di Jakarta. Kesihatan Allahyarham juga terganggu dengan beberapa kali keluar masuk hospital kerana masalah jantung dan pendarahan dalaman. Kali terakhir dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina pada 4 Januari sehinggalah mengembuskan nafasnya yang terakhir di hospital berkenaan pada 27 Januari 2008.

Allahyarham telah selamat dikebumikan di Astana Giri Bangun, Solo, Jawa Tengah. Malaysia telah diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada istiadat pemakaman berkenaan dengan diiringi Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari mulai 27 Januari.

Maklumat lanjut tentang diri dan karier politik Allahyarham boleh dibaca di Wikipedia Suharto.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 28.1.08 1 comments

Sharlinie Mohd Nashar telah hilang lebih daripada dua minggu lalu berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu dia sedang bermain dengan kakaknya Sharliena yang berusia 8 tahun. Sharlinie merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik, kakak sulongnya Nurul Amirah berumur 11 tahun.

mungkin rambut dipotong pendek

Sehingga ke hari ini usaha untuk mengesan kanak-kanak berumur 5 tahun ini masih giat dijalankan oleh berbagai pihak. Walaupun begitu pihak polis masih belum lagi menjumpai sebarang petunjuk baru yang boleh membantu mengesan Sharlinie. Menurut pihak polis ada kemungkinan rambut Sharlinie telah dipotong pendek dan bulu keningnya dinipiskan bagi menyukarkan orang ramai mengenali rupa parasnya. Kaedah yang sama juga telah dilakukan kepada Nurin Jazlin sehingga dia sukar dikenali bila dijumpai.

Di antara langkah yang sedang dilakukan oleh pihak polis ialah dengan memeriksa hampir 1,000 buah rumah sehari. Rumah-rumah yang diperiksa adalah yang terletak di sekitar daerah Petaling Jaya termasuk rumah kongsi pekerja asing. Operasi pemeriksaan ini dijalankan oleh anggota-anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya serta dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak Rukun Tetangga setempat juga turut memberi kerjasama dalam usaha memeriksa rumah di kawasan mereka.

Sementara itu pengamal perubatan Ikatan Bomoh Negara Sebelas Serangkai dan Ahli Jemaah Sabililah seramai 100 orang dari beberapa buah negeri telah berkumpul di rumah Sharlinie di Taman Medan bagi membantu mencari kanak-kanak itu mengikut kaedah tradisional. Selepas upacara itu mereka mendakwa Sharlinie masih berada di sekitar Taman Medan.

Tidak ketinggalan juga pelajar pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 9 tahun, telah memberi maklumat tentang salah satu lokasi kegiatan penculik Sharlinie. Adi Putra telah membawa ibubapa Sharlinie serta pemangku Ketua Polis Gombak dan pihak media untuk meninjau sebuah tempat di Ulu Yam. Menurut Adi Putra, kawasan itu adalah salah satu daripada markas penculik yang didakwa olehnya seramai lima orang dan mereka dikatakan sedang menuntut sejenis ilmu. Lokasi itu hanya untuk menguji ilmu mereka dan bukannya tempat mengurung Sharlinie.

Shamsul Ghazali Shamsuddin, bapa Yin atau Muhammad Nazrin, 6, yang hilang selama 15 hari pada Mac tahun lalu telah turut datang menziarah keluarga Sharlinie untuk memberi sokongan moral. Di samping itu Shamsul yang tinggal di Ipoh telah mencadangkan supaya ibubapa Sharlinie menggunakan khidmat pakar forensik hipnosis. Shamsul yang pernah mengalami trauma yang sama semasa anaknya Yin hilang tahun lepas berkata, forensik hipnosis ini adalah kaedah saintifik berasaskan psikologi.

Berbagai cara digunakan dan usaha dilakukan untuk mengesan lokasi adik Sharlinie Mohd Nashar yang telah hilang semenjak 9 Januari yang lalu. Malahan beribu-ribu poster telah diedarkan di seluruh negara termasuk di Thailand dan Singapura. Diharap keluarga Sharlinie tabah menghadapi dugaan ini dan sentiasa memohon kepada yang Esa. Semoga doa dan sembahyang hajat dari rakyat Malaysia akan dimakbulkan, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 25.1.08 3 comments

Sessi sekolah bagi tahun ini baru sahaja bermula 3 minggu tetapi sudah ada beberapa kes masalah disiplin pelajar. Difahamkan seramai lebih 3,500 orang pelajar telah dibuang sekolah pada tahun lepas dan lebih 7,500 orang pelajar lagi telah digantung persekolahan mereka di seluruh negara. Sebahagian besar daripada yang dibuang sekolah ini adalah mereka yang terlibat dengan kesalahan ponteng sekolah.


Seorang pelajar tingkatan tiga, K.Yazhovan telah mati selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolahnya baru-baru ini. Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut walaupun begitu mereka akan tetap melakukan siasatan. Beberapa pelajar Sekolah Menengah Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong yang menyaksikan kejadian itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Yashovan yang berumur 15 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat dua sekolahnya pada pukul 10:30 pagi dan mengakibat dia cedera parah di kepala telah dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur. Dia meninggal dunia selepas langsung tidak sedarkan diri semenjak dimasukkan ke hospital.

Beberapa persoalan telah timbul dengan kejadian yang menimpa anak tunggal ini. Pertamanya adakah kejadian ini merupakan satu kemalangan atau memang disengajakan? Lebih-lebih lagi Yashovan ada mengadu dia pernah dibuli semasa di sekolah. Sementara itu beberapa pelajar yang melihat kejadian itu memberitahu bapa Yashovan bahawa anaknya telah dibiarkan terbaring hampir sejam sebelum seorang kakitangan sekolah bertindak menelefon ambulan.

Satu lagi kejadian di Gombak seorang ketua pengawas telah dipukul oleh beberapa orang pelajar sehingga cedera anggota badan dan menerima beberapa jahitan di kepala. Difahamkan ketua pengawas ini telah mengambil nama pelajar ini yang datang lewat ke sekolah pada pagi kejadian.

Selepas tamat waktu persekolahan pada hari itu, pelajar ini bersama-sama beberapa rakannya yang menaiki motor telah menahan ketua pengawas berkenaan di luar pagar sekolah. Mereka telah beramai-ramai memukul dan ada yang menggunakan besi pengunci motor. Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Di Sungai Buloh pula seorang pelajar tingkatan satu telah dibelasah oleh sekumpulan pelajar tingkatan dua dan tiga. Kejadian berlaku semasa Muhammad baru sahaja keluar sekolah untuk pulang ke rumah bila dia tiba-tiba dikerumuni, ditengking dan dipukul beramai-ramai. Muhammad telah dipukul dan ditendang sehingga lebam-lebam dan pakaian sekolahnya koyak.

Pelajar-pelajar ini menuduh Muhammad menjeling mereka dan mengugut supaya tidak melaporkan kejadian itu jika tidak mahu mereka memanggil pelajar tingkatan lima pula memukul dia. Walaupun begitu mangsa dan ibunya telah membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Apabila ibu Muhammad memberitahu hal itu kepada pengetua sekolah, beliau berkata tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku di luar kawasan sekolah.

Ini seolah-olah menunjukkan suasana di sekolah dan perjalanan balik dari sekolah tidak selamat. Satu kajian dan tindakan susulan perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca asal kelemahan tahap disiplin para pelajar masa kini. Mungkin ada mengatakan, ini kejadian terpencil tetapi jika dibiarkan pasti menjadi barah yang boleh merosakkan keseluruhan institusi pendidikan.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 23.1.08 7 comments

Satu talian khas telah disediakan oleh pihak Telekom Malaysia untuk orang ramai memberi maklumat mengenai Sharlinie Mohd Nashar yang dilaporkan hilang semenjak 9 Januari lalu. Nombor talian bebas tol yang boleh dihubungi oleh orang ramai ini ialah 1800 88 LINI (5464).

1800-88-LINI

Perkhidmatan talian khas Sharlinie ehsan Telekom Malaysia ini akan beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia. Talian ini akan menjadi saluran utama bagi orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Diharap talian bebas tol ini tidak disalahgunakan oleh orang ramai kerana ini akan mengganggu proses siasatan pihak polis.

Talian bebas tol ini mempunyai ciri yang boleh mengesan lokasi asal pemanggil dan seterusnya memindahkan panggilan itu secara automatik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen berdekatan bagi memudahkan polis bertindak segera apabila menerima maklumat.

Usaha mengadakan talian khas ini diharap dapat membantu usaha menjejak adik Sharlinie Mohd Nashar. Pihak polis juga dapat bertindak dengan lebih pantas terhadap sebarang maklumat yang diterima. Sudah seminggu Sharlinie hilang semoga penantian keluarganya akan berakhir tidak lama lagi.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 17.1.08 6 comments

Bulan lepas pihak Google telah mengeluarkan laporan Google Zeitgeist 2007 untuk seluruh dunia. Baru-baru ini pihak Google telah mengeluarkan laporan yang sama tetapi untuk peringkat negara Malaysia sahaja. Laporan ini diperolehi dengan mengira jumlah carian yang dibuat melalui google.com.my untuk tahun 2007.

Bagi kategori personaliti terkenal, Datuk Siti Nurhaliza merupakan carian tertinggi diikuti Paul Tan dan Paris Hilton. Sungguh menarik kerana penulis blog pun sekarang sudah boleh dikira sebagai personaliti terkenal. Selain daripada Paul Tan di tempat kedua, Jeff Ooi juga tersenarai di nombor lapan.

Sementara bagi kategori carian destinasi, Genting dan Langkawi mendahului senarai. Bagi carian dalam Bahasa Melayu pula carian jawatan kosong, resepi dan akademi fantasia adalah yang tertinggi.

Berikut adalah senarai penuh laporan tersebut;

Carian Tertinggi 2007
1. friendster
2. youtube
3. berita harian
4. myspace
5. harian metro
6. utusan malaysia
7. wikipedia
8. airasia
9. maybank2u
10. jobstreet

Carian Terpantas Meningkat 2007
1. youtube
2. facebook
3. firefly
4. esnips
5. mobik
6. veoh
7. transformers
8. friendster layout
9. heroes
10. tudou (perkongsian terbesar video dalam bahasa Mandarin)

Carian Tertinggi Untuk Orang Terkenal
1. siti nurhaliza
2. paultan
3. paris hilton
4. britney spears
5. akon
6. avril lavigne
7. nurin jazlin
8. jeff ooi
9. megan fox
10. altantuya

Carian Tertinggi Untuk Destinasi
1. genting
2. langkawi
3. singapore
4. penang
5. bali
6. cameron highland
7. melaka
8. port dickson
9. bukit tinggi
10. kuala lumpur

Carian Tertingg Untuk Aktiviti Hiburan Di Talian
1. Friendster (social networking)
2. youtube (video site)
3. myspace (social networking)
4. games (free online games)
5. naruto (Japanese anime)
6. metacafe (video site)
7. facebook (social networking)
8. imeem (music, photo, video site)
9. photobucket (photo & video site)
10. lowyat (Malaysian tech enthusiast resource community)

Carian Tertinggi Tentang Bola
1. soccernet
2. epl (English Premier League)
3. manchester united
4. arsenal
5. liverpool
6. chelsea
7. uefa (Union of European Football Association)
8. fantasy premier league
9. fantasy football
10. fam (Football Association of Malaysia)

Carian Tertinggi untuk Wayang/Rancangan TV/Radio
1. gsc
2. tgv
3. transformers
4. heroes
5. radioblog
6. era
7. prison break
8. cineleisure
9. hitfm
10. high school musical

Carian Tertinggi Untuk Permainan
1. miniclip
2. barbie
3. maplesea - permainan kartun
4. pokemon - permainan kartun
5. sudoku
6. gamespot 305 - sumber untuk playstation, xbox, wii, etc
7. runescape
8. utopia
9. ghost online
10. animax

Carian Tertinggi Untuk Perkakasan Kecil
1. mp3 135
2. iphone
3. nokia 6300

Carian Tertinggi Dalam Bahasa Melayu
1. jawatan kosong (job vacancy)
2. resepi (recipes)
3. akademi fantasia (local entertainment show)
4. mat rempit (illegal racers)
5. cuti-cuti malaysia (holiday packages by Tourism Ministry)
6. kamus (dictionary)
7. lagu (songs)
8. lirik (lyrics)
9. portal pendidikan (educational portal)
10. cerita (stories)

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 16.1.08 1 comments

Seorang warga negara Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di Johor telah ditahan oleh pihak polis kerana memberi maklumat palsu mengenai kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar. Wanita yang berumur 27 tahun ini telah menghantar beberapa SMS semenjak hari pertama kehilangan Sharlinie sehingga hari ketiga.

sms Sharlinie akan dihantar pulang

Di antara kandungan sms yang dihantar ada menyebut tentang perasaan dendam dan Sharlinie akan dihantar pulang dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi. Kesemua sms tersebut telah dihantar ke telefon bimbit bapa Sharlinie, Mohd Nashar.

Ini merupakan satu peringatan kepada orang ramai supaya tidak mengeruhkan keadaan dan bersikap tidak bertanggungjawab dengan menghantar sms gurauan dan maklumat palsu mengenai kehilangan Sharlinie. Perbuatan ini bukan sahaja menambahkan tekanan kepada ibubapa Sharlinie tetapi mengganggu siasatan pihak polis.

Terkini:
Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun juga telah ditahan oleh pihak polis di Bagan Serai. Dia dipercayai menelefon dan menghantar sms mengandungi maklumat palsu berhubung kes kehilangan Sharlinie.

Wanita warga Indonesia yang ditahan berhubung sms palsu tentang kehilangan Sharlinie telah dibebaskan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, wanita tersebut ditahan semula sejurus dibebaskan untuk disiasat atas dakwaan membuat ugutan palsu melalui SMS kepada keluarga Sharlinie pula.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 15.1.08 1 comments

Pihak polis telah menangkap dua orang lelaki untuk membantu dalam merungkai kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Seorang telah ditahan di Jalan Chow Kit manakala seorang lagi di sebuah bangunan kosong di Jalan Tun Razak. Salah seorang daripada mereka dipercayai menjadi pengawal keselamatan kepada sebuah bangunan kosong berdekatan dengan bangunan BERNAMA dan Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Di samping kes pembunuhan Nurin Jazlin, pihak polis juga sedang meneliti kemungkinan kedua-dua lelaki ini juga ada kaitan dengan kes penculikan Sharlinie, Nur Fatiha dan beberapa kes cabul kanak-kanak yang berlaku di Kampung Baru.

Bagi membantu siasatan, Nur Fatiha dan beberapa orang kanak-kanak telah dibawa ke bangunan kosong di Jalan Tun Razak di mana lelaki yang ditahan ini bekerja sebagai pengawalnya. Difahamkan kanak-kanak tersebut telah diminta untuk mengenal pasti dan membuat pengecam keadaan di bangunan berkenaan. Nurin Jazlin juga dipercayai pernah ditahan di bangunan tersebut.

Sebuah bilik di bangunan kosong tersebut telah dibersihkan oleh pengawal keselamatan yang ditahan itu untuk dijadikan tempat tidur dengan dilengkapi sebuah almari, televisyen dan tilam. Lelaki itu juga sering membawa anak-anaknya tinggal di bilik tersebut. Sebuah motosikal berwarna hitam kepunyaan lelaki berkenaan juga dijumpai di bangunan yang telah lebih tiga tahun kosong itu.

Menurut polis ini adalah tangkapan biasa berdasarkan maklumat yang mereka terima dan tidak mahu orang ramai membuat sebarang spekulasi tentangnya. Persoalannya, adakah salah seorang daripada lelaki ini adalah Lelaki Kucing yang diburu selama ini? Adakah mereka bertanggungjawab di atas apa yang terjadi kepada Nurin Jazlim Jazimin? Jika ya, diharap mereka dapat didakwa di mahkamah supaya mereka menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang telah dilakukan.

Terkini :
Kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa culik dan cabul tersebut tidak dapat membuat pengecaman terhadap dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Mereka juga tidak dapat mengecam keadaan di dalam dan sekeliling bangunan kosong tersebut. Pihak polis masih meneruskan siasatan dengan mengambil ujian DNA ke atas kedua-dua lelaki berkenaan.

Dua orang lelaki yang ditahan reman untuk disoal siasat tersebut telah dibebaskan oleh pihak polis selepas mereka didapati tidak terlibat dengan kes kematian Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie Mohd Nashar.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 14.1.08 1 comments

Dua orang penduduk Taman Medan tempat di mana Sharlinie diculik mendakwa ada ternampak lelaki yang merupai gambar yang diedarkan oleh pihak polis. Salah seorang saksi itu berkata dia ternampak lelaki itu menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna biru sedang bertanya sesuatu kepada rakanya yang juga salah seorang saksi.

Suspek Kes ShsrlinieSuspek Kes Nurin

Rakannya itu kemudian memberi tunjuk arah kepada lelaki berkenaan untuk ke taman permainan di mana Sharlinie dan Sharliena bermain. Lelaki berkenaan dilihat duduk berbual di taman tersebut bersama seorang lelaki lain sebelum kedua-dua mereka menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan ada menerima laporan daripada kedua-dua saksi itu. Beliau juga berharap lebih ramai saksi akan berani tampil memberi lebih banyak maklumat lagi.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.1.08 1 comments

Subscribe here