Satu temu janji yang tidak akan dilepaskan oleh mereka yang minat membaca adalah untuk melapangkan masa menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang saban tahun diadakan pada bulan April. Jika anda tidak minat membaca pun datanglah membawa anak-anak supaya dapat memupuk minat mereka membaca.
Di pesta buku ini kita boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan yang terkini dan berkualiti serta menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan. Pesta buku yang bermula 27 tahun dulu ini juga merupakan satu acara utama bagi industri buku di Malaysia.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 ini akan berlangsung seperti berikut;
Tarikh : 4 - 13 April 2008
Waktu dibuka;
10.00 am hingga 7.00 pm (Isnin-Khamis)
10.00 am hingga 10.00 pm (Jumaat-Ahad)
Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur
Masuk percuma.
Selain pameran dan jualan buku, PBAKL 2008 juga menyediakan pelbagai program ilmiah dan aktiviti santai yang berkaitan dengan pembacaan, penulisan dan penerbitan. Di antaranya termasuklah Persidangan Antarabangsa Industri Buku, bengkel penulisan, pelancaran buku, pertandingan bercerita dan melukis, ulasan buku, dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan mengadakan Anugerah NILAM anjurannya sempena PBAKL 2008 ini.
Jumpa di sana.
Technorati Tags: azhad, pesta, pameran, buku, antarabangsa
Majalah Malaysian Business keluaran Februari 2008 telah menyenaraikan 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan jumlah pegangan saham yang dilaporkan di bursa saham dan lain-lain pegangan saham yang boleh dinilaikan pada 18 Januari 2008. Blog ini pernah juga memaparkan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lepas berdasarkan kajian yang di buat oleh majalah Forbes.
Terkini : Senarai 40 Terkaya di Malaysia 2008 oleh Forbes Asia.
Tan Sri Robert Kuok orang terkaya
Berdasarkan kedua-dua senarai tersebut Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya Malaysia. Turut tersenarai Ong Beng Seng, jutawan harta yang kini tinggal di Singapura adalah orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu. Hanya ada dua orang wanita yang tersenarai iaitu Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah dan Puan Sri Chong Chook Yew.Manakala bumiputra yang berada dalam senarai tersebut adalah seramai 8 orang. Mereka selain daripada Raja Datuk Seri Eleena adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Mokhzani Mahathir, Tan Sri Hamdan Mohamad, Tan Sri Rozali Ismail, Shaari Ismail dan Datuk Abdul Hamed Sepawi.
Berikut adalah senarai 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan kajian yang dibuat oleh majalah Malaysian Business;
1. Robert Kuok Hock Nien, 84, RM 58.110 billion, Kerry/Kuok Group
2. Tan Sri T. Ananda Krishnan, 69, RM 19.625 billion, Usaha Tegas
3. Tan Sri Lee Shin Cheng, 69, RM 14.943 billion, IOI Group
4. Tan Sri Quek Leng Chan, 65, RM 11.098 billion, Hong Leong Group
5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 57, RM 8.550 billion, Albukhary Foundation
6. Tan Sri Teh Hong Piow, 78, RM 8.06 billion, Public Bank
7. Tan Sri Tiong Hiew King, 71, RM 3.87 billion, Rimbunan Hijau
8. Tan Sri Vincent Tan, 56, RM 3.40 billion, Berjaya Group
9. Tan Sri Lim Kok Thay. 56, RM 3.16 billion, Genting Group
10. Tan Sri Azman Hashim, 68, RM 2.87 billion, Arab-Malaysian Corp
11. Datuk Lee Yeow Chor, 42, RM 2.33 billion, IOI Group
12. Lee Yeow Seng, 29, RM 2.29 billion, IOI Group
13. Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 78, RM 1.74 billion, YTL Group
14. Ong Beng Seng, 62, RM 1.73 billion, Hotel Properties Ltd
15. Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, 62, RM 1.49 billion, Sunway Group
16. Datuk Yaw Teck Seng, 70, RM 1.39 billion, Samling Group
17. Datuk Seri Lee Oi Hian, 58, RM 1.304 billion, Batu Kawan
18. Datuk Lee Hau Hian, 55, RM 1.301 billion, Batu Kawan
19. Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 54, RM 0.99 billion, YTL Group
20. Datuk Mokhzani Mahathir, 46, RM 0.97 billion, Kencana Petroleum
21. Datuk Yeoh Seok Hong, 49, RM 0.883 billion, YTL Group
22. Datuk Yeoh Seok Kian, 51, RM 0.881 billion, YTL Group
23. Datuk Micheal Yeoh Sock Siong, 48, RM 0.87 billion, YTL Group
24. Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 43, RM 0.86 billion, YTL Group
25. Tan Sri Hamdan Mohamad, 52, RM 0.85 billion, Ranhill
26. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, 47, RM 0.83 billion, Gamuda
27. Tan Sri Dr Lim Wee Chai, 50, RM 0.78 billion, Top Glove Corp
28. Tan Sri Kua Sian Kooi, 56, RM 0.75 billion, Kurnia Asia
29. Puan Sri Chong Chook Yew, 85, RM 0.71 billion, Selangor Properties
30. Datuk Tony Tiah Thee Kian, 61, RM 0.67 billion, TA Enterprise
31. Datuk Tan Chin Nam, 82, RM 0.61 billion, Tan & Tan
32. Tan Sri Rozali Ismail, 52, RM 0.59 billion, Puncak Niaga Holding
33. Shaari Ismail, 53, RM 0.57 billion, Puncak Niaga Holding
34. Datuk Seri Panglima Lau Cho Kun, 72, RM 0.533 billion, Gek Poh Holdings
35. Datuk Lin Yun Ling, 52, RM 0.532 billion, Gamuda
36. Datuk Seri Liew Kee Sin, 49, RM 0.52 billion, SP Setia
37. Ong Leong Huat, 64, RM 0.50 billion, OSK Holdings
38. Datuk Abdul Hamed Sepawi, 57, RM 0.49 billion, Naim Cendera Holdings
39. Datuk Tony Fernandes, 43, RM 0.47 billion, AirAsia
40. Kwan Ngen Chung, 48, RM 0.40 billion, Kwantas Corp
Perlu diingat bahawa nilai yang disebut di atas adalah berdasarkan maklumat yang boleh didapati secara umum dan ditolak hutang yang diistiharkan. Sudah tentu ada lebih ramai mereka yang mempunyai nilai harta yang sama atau lebih daripada yang tersenarai di atas. Nama mereka tidak ada di sini kerana pegangan saham tersebut tidak dapat dikaitkan secara langsung kepada mereka.
Senarai ini diperolehi daripada blog Warkah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, malaysian business, terkaya, millionaire, billionaire, jutawan, malaysia
Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 Mac diraikan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti ceramah agama, nasyid, berselawat, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.
Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah. Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam.
12 Rabiulawal ~ 20 Mac
Kelahiran Rasulullah SAW mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)
Perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.
Rasulullah SAW adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.
Keunggulan keperibadian Baginda SAW dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.
Kejayaan Rasulullah SAW yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.
Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.
Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1428.
Technorati Tags: azhad, maulidur rasul, muhammad, agama, islam
TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008
Pada minggu lepas tiga keputusan peperiksaan telah diumumkan. Bermula dengan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 11 Mac 2008. Disusuli pula dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 12 Mac 2008. Secara keseluruhannya pencapaian calon-calon ketiga-tiga peperiksaan ini boleh dibanggakan.
Azali 20 1A & 1 2A
Seramai 56,896 atau 91.62 peratus daripada 66,047 calon STPM 2007, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu subjek, meningkat 0.75 peratus berbanding 90.87 peratus pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 3,687 atau 5.94 peratus calon lulus penuh lima subjek, 23,101 (37.2 peratus) empat subjek, 12,418 (20 peratus) tiga subjek, 9,234 (14.87 peratus) dua subjek serta 8,456 (13.62 peratus) satu subjek.Enam belas orang pelajar STPM 2007 dari seluruh negara diumumkan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang. Daripada jumlah itu, 11 calon mencatat keputusan gred A bagi semua kertas peperiksaan dalam lima mata pelajaran diambil. Enam daripada mereka adalah pelajar aliran sains yang cemerlang dalam 13 kertas peperiksaan, manakala 5 calon lagi adalah pelajar aliran sastera.
Tiga pelajar istimewa turut menerima anugerah yang sama sebagai menghargai usaha mereka mencapai keputusan memberangsangkan walaupun dalam keadaan cacat. Dua orang pelajar lagi yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ini adalah calon yang cemerlang dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) 2007.
Sementara itu seramai 729 atau 14.8 peratus daripada 4,920 calon STAM 2007 memperoleh keputusan sangat cemerlang atau Mumtaz, meningkat berbanding 694 (13.9 peratus) tahun sebelumnya. Mereka ini adalah sebahagian daripada 3,341 (67.9 peratus) calon yang berjaya mendapat sijil STAM kali ini dengan pangkat sekurang-kurang Maqbul atau lulus.
Seramai 4,920 calon menduduki STAM 2007 yang menawarkan beberapa mata pelajaran meliputi bidang Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin. Di antaranya ialah Hifzil Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Insya’ dan Mutala’ah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiyah serta Balaghah.
Manakala itu sejumlah 6,247 orang calon daripada 439,255 orang calon yang menduduki peperiksaan SPM 2007 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran ini merupakan satu peningkatan berbanding keputusan 2006 apabila seramai 5,685 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Pencapaian SPM 2007 juga sangat membanggakan apabila 382,286 calon berjaya mendapat sijil berbanding 358,060 pada 2006. Seramai 1,072 calon berjaya mendapat 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,280 calon pada tahun sebelumnya. Hanya 2,911 atau 0.75 peratus calon gagal (gred 9G) dalam semua mata pelajaran berbanding 2,823 (0.79 peratus) pada 2006.
Pelajar paling cemerlang SPM 2007 adalah Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, yang memperoleh 20 1A dan satu 2A dan Quek Hai Ren dari SMK Hwa Lian, Mentakab Pahang yang memperoleh 16 1A.
Technorati Tags: azhad, peperiksaan, spm, stam, stpm
Pilihan Raya Umum Malaysia ke 12 telah pun berakhir dengan membawa satu perubahan kepada suara rakyat tentang siapa yang akan mewakili mereka di dalam kerajaan. Bermula dengan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen sehingga 5 negeri kini di bawah pemerintahan parti pembangkang. Berbagai reaksi boleh dilihat apabila angin perubahan atau tsunami pilihan raya ini melanda politik negara kita Malaysia.
Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Barisan Nasional hanya memperolehi 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, kurang 8 kerusi untuk mendapat majoriti 2/3. Manakala PAS memperolehi 23 kerusi, PKR 31 kerusi dan DAP 28 kerusi.
Sementara itu di peringkat negeri secara keseluruhan Barisan Nasional mendapat 307 kerusi daripada 505 kerusi. PAS pula 83 kerusi, PKR 40 kerusi, DAP 73 kerusi dan Bebas 2 kerusi. Lima negeri yang berjaya ditawan oleh parti pembangkang ialah Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Sebenarnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dikuasai oleh parti pembangkang kerana daripada 11 kerusi mereka memperolehi 10 kerusi cuma di sini hanya ada kerusi Parlimen.
Ramai yang terkejut dan ada pula yang gembira dengan gelombang perubahan ini. Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai ialah dari mana datangnya angin perubahan ini. Semasa ditemuramah di satu sidang akhbar selepas pilihan raya lepas, Tun Dr Mahathir telah menyatakan kemungkinan ini berpunca daripada anak menantu Pak Lah iaitu Khairy Jamaluddin. Menurut beliau Perdana Menteri lebih mendengar kata-kata menantunya itu daripada maklumat daripada pihak polis, risikan maupun tentera.
Malah ada pula berpendapat ini adalah tindakan pengundi yang sudah bosan dengan pelbagai perkara yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Secara langsung ini telah menyebabkan sokongan dan kepercayaan kepada parti pembangkang semakin meningkat. Tidak kurang juga mungkin ada pengundi yang pada awalnya hanya ingin mengurangkan majoriti Barisan Nasional tetapi bila sudah ramai yang mempunyai fikiran yang sama maka ramailah calon parti pembangkang yang menang.
Walau apapun pendapat yang diberikan tapi sudah jelas satu lembaran baru politik di Malaysia telah pun bermula. Langkah yang berikutnya ialah untuk memastikan negara dan semua negeri akan dapat ditadbirkan dengan baik berlandaskan kepentingan rakyat bukannya di atas kepentingan pihak tertentu sahaja.
Berdasarkan pengalaman yang lalu negeri yang ditadbir oleh pembangkang susah mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat. Ini sudah pasti akan menyulitkan 5 negeri di bawah pentadbiran parti pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Akibatnya rakyat di negeri berkenaanlah yang akan menjadi mangsa. Bila perkara ini diketengahkan tentu akan ada suara yang menyebut, "padan muka, kenapa pilih pembangkang dulu".
Walaupun begitu diharap perubahan arus politik ini akan memberi manafaat kepada rakyat secara amnya. Inilah peluang parti pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan lebih cekap. Manakala ini juga peluang untuk Barisan Nasional membaiki kelemahan yang ada dan meningkat kualiti pentadbiran mereka.
Sama-samalah kita pantau perkembangan semasa politik ini sehingga tibanya Pilihan Raya yang ke 13 akan datang bila semua pengundi sekali lagi akan menentukan siapa yang mentadbir negara Malaysia ini.
Technorati Tags: azhad, pilihan raya, keputusan, barisan nasional, pas, pkr, keadilan, dap
Bermula dengan pembubaran parlimen pada 13 Februari, hari ini telah tiba masanya bagi lebih 10 juta rakyat Malaysia yang telah berdaftar dan layak untuk mengundi. Sebenarnya beberapa hari yang terdahulu warga tentera dan polis telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka melalui undi pos. Proses undi pos ini telah dijalankan di kem, markas malah di ibupejabat polis dan tentera seluruh negara.
Selamat Mengundi
Parlimen kali ini telah dibubarkan paling awal dalam sejarah, ini telah menyebabkan pihak pembangkang mendakwa tujuan utamanya adalah untuk menghalang Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada bertanding. Dato' Seri Anwar hanya layak untuk bertanding dalam pilihan raya selepas pertengahan April 2008.Panamaan calon telah berlangsung pada 24 Februari lalu dan di hari tersebut Barisan Nasional telah memenangi 7 kerusi Parlimen dan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri tanpa bertanding. Manakala PAS juga telah memenangi 1 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Semasa proses penamaan calon tersebut khabarnya telah timbul juga beberapa isu terutamanya yang berkaitan dengan borang penamaan. Di antaranya isu tentang jawatan calon dan borang yang penamaan yang tidak ditandatangani. Malah ada juga desas-desus yang mengatakan calon parti pembangkang telah dibayar untuk tidak terus bertanding.
Sepanjang tempoh berkempen pula berbagai topik yang telah dibangkitkan oleh calon-calon parti-parti yang bertanding berlandaskan manifesto masing-masing. Perkara yang paling ketara ialah tentang isu harga barangan dan harga minyak yang tinggi. Pihak pembangkang menjanjikan harga akan diturunkan jika mereka memerintah. Manakala dipihak Barisan Nasional mempertahankan kenapa harga itu pada tahapnya sekarang.
Walaupun begitu pengumum Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal pada hari mengundi telah mengundang beberapa persoalan dan protes. Malah ada yang mengatakan bahawa harapan untuk memastikan proses pilihan raya yang adil dan telus telah tercalar.
Hari ini 8 Mac jangan ketinggalan untuk pergi mengundi, pastikan pusat mengundi, saluran, nombor siri dan bawa bersama kad pengenalan diri. Inilah masanya anda menjalankan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia. Malangnya masih ramai lagi yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi yang sah dan juga yang langsung tidak mengambil tahu tentang proses pilihan raya ini.
Tidak kiralah apa juga pendirian diri anda dan siapa yang anda sokong, mengundi merupakan salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang warganegara. Pergilah daftarkan diri anda sebagai pengundi yang sah supaya layak untuk mengundi di pilihan raya ke 13. Bagi yang telah berdaftar, Selamat Mengundi!
Technorati Tags: azhad, pilihan raya, undi, daftar
TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008
Penantian dan debaran mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun lepas akan terjawab pada minggu hadapan. Keputusan untuk kedua-dua peperiksaan ini akan diumumkan pada 12 Mac 2008 mulai pukul 10 pagi di sekolah masing-masing. Manakala calon persendirian akan mendapat keputusan mereka melalui pos.
12 Mac 2008
Sementara itu pihak Kementerian Pelajaran akan membentangkan analisis untuk keputusan SPM dan STAM 2007 ini pada hari yang sama di Putrajaya. Peperiksaan SPM 2007 telah diduduki oleh seramai 439,255 orang calon yang boleh dibahagikan kepada 87.9 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran, 3.4 peratus calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan, 2.4 peratus calon sekolah swasta dan 6.3 peratus calon persendirian.Peperiksaan STAM pula hanya diduduki oleh seramai 6,552 orang calon sahaja yang melibatkan 13.4 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan, 61 peratus calon sekolah agama kelolaan kerajaan negeri, 13.8 peratus calon sekolah agama rakyat, 0.4 peratus calon sekolah swasta dan 11.4 peratus calon persendirian.
Ujian amali bagi peperiksaan SPM telah dijalankan dari 24 sehingga 26 September 2007 lalu dan ujian bertulis dari 12 November sehingga 6 Disember 2007. Sementara itu bagi STAM ujian lisannya telah diadakan dari 16 sehingga 20 Julai dan dari 23 sehingga 27 Julai. Ujian bertulis untuk STAM pula telah berlangsung dari 22 sehingga 24 Oktober 2007 dan dari 29 sehingga 30 Oktober 2007.
Walau apapun keputusan yang akan diterima nanti, fikirlah rancangan yang terbaik untuk melanjut pelajaran demi masa depan yang cemerlang.
Technorati Tags: azhad, keputusan, peperiksaan, spm, stam
Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis menjadi perhatian orang ramai apabila beliau hilang semasa sedang menuruni Gunung Tahan pada 7 Februari 2008 lalu. Nur Umaisarah atau lebih dikenali sebagai Umai telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Sungai Putih, Jerantut.
Umai adalah salah seorang daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program ekspedisi Gunung Tahan unit beruniform Komander Kesatria anjuran UiTM. Mereka telah mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang. Kehilangan Umai hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, 7 Februari.
Usaha mencari Umai telah dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan anggota operasi melebihi 150 orang termasuk Senoi Praaq, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Komando Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Komando 69 dan unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Umai akhirnya telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di Kuala Sungai Putih, Jerantut. Selepas ditemui Umai telah dibawa ke Kem Kuala Sungai Putih dekat Jerantut, sebelum diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dari Jerantut dan tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan jam 10.30 pagi keesokan harinya.
Ketika dijumpai oleh renjer berkenaan, Umai berada dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih. Jarak Umai ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat dan agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.
Umai yang menerima rawatan di Wad DiRaja HTAA, atas ihsan Sultan Pahang kelihatan kurus dan cengkung, disahkan doktor dalam keadaan sihat dan stabil, tetapi mengalami luka dan calar pada badan, lengan serta kaki.
Technorati Tags: azhad, umai, umaisarah, gunung tahan, hilang, uitm
Kementerian Pelajaran pada tahun lepas ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Baru-baru ini Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menetapkan tarikh baru untuk semua peperiksaan umum di Malaysia.
Jadual baru peperiksaan tersebut adalah seperti berikut;
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
Tarikh : 9, 10, 11 September 2008Penilaian Menengah Rendah (PMR)
Tarikh: 13, 14, 15 Oktober 2008 dan 4, 5 November 2008Tarikh peperiksaan PMR 2008 telah diubah sila rujuk Tarikh Baru PMR.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Tarikh: 11 November - 6 Disember 2008Untuk maklumat lanjut sila rujuk Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2008.
Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU)
Tarikh: 24, 25 Jun 2008Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
Tarikh: 20, 21, 22, 28, 29 Oktober 2008Tujuan utama anjakan tarikh peperiksaan ini merupakan satu usaha kerajaan untuk membendung masalah ponteng sekolah yang berleluasa setiap kali selepas peperiksaan umum. Paling ketara ialah bagi peperiksaan PMR di mana ianya telah dibahagikan kepada dua iaitu pada pertengahan Oktober dan awal November. Blog ini ada bercerita tentang ponteng adalah antara masalah disiplin pelajar sekolah sebelum ini.
Walaupun begitu sejauh mana berjayanya rancangan ini akan dapat dilihat pada penghujung tahun nanti. Sementara itu kepada mereka yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STAM pada hujung tahun sepatutnya sudah mula membuat persiapan daripada sekarang. Rancanglah masa yang ada ni untuk memaksimumkan waktu untuk mengulangkaji.
Technorati Tags: azhad, peperiksaan, upsr, pmr, spm, spmu, stam
Hari ini 21 Februari 2008 sudah lebih 40 hari Sharlinie Mohd Nashar 5 tahun hilang di taman permainan kanak-kanak berhampiran dengan rumahnya. Pihak polis telah pun memberhentikan usaha mencari daripada rumah ke rumah tetapi cuma akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Walaupun begitu ini tidak bermakna kes ini telah ditutup.
di mana Sharlinie?
Pada masa yang sama ibubapa Sharlinie, Mohd Nashar dan Suraya terus berharap semua yang berkenaan termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan orang ramai tidak berputus asa dalam usaha mengesan anak mereka. Setakat ini pelbagai usaha telah dilakukan samada melalui risikan polis, cara tradisional dan pengedaran beribu-ribu poster tetapi tiada maklumat yang dapat membantu mengesan Sharlinie.Paling terbaru adalah serbuan pihak polis ke sebuah rumah di Flat Sri Sabah. Cheras, Kuala Lumpur setelah mendapat maklumat kemungkinan Sharlinie disembunyikan di situ. Walaupun begitu operasi yang melibatkan sekumpulan 20 pegawai dan anggota pasukan khas itu tidak menemui sebarang hasil yang positif. Difahamkan seorang profesor madya matematik mendakwa beliau mempunyai kepandaian mencari orang hilang melalui nombor telah memberi maklumat tentang rumah yang diserbu itu.
Kes cubaan menculik yang berlaku di Puchong dan Klang baru-baru ini mungkin boleh memberi petunjuk baru dalam usaha mengesan kedudukan Sharlinie. Ada kemungkinan salah satu daripada kes tersebut atau kedua-duanya dilakukan oleh orang yang sama menculik Sharlinie.
Kes di Puchong pada 31 Januari pukul 9 malam apabila seorang lelaki cuba menculik 2 orang kanak-kanak perempuan yang ketika itu bersama-sama ibubapa mereka di sebuah restoran. Cubaan tersebut gagal apabila seorang wanita menjerit sebelum sempat kanak-kanak tersebut dilarikan dengan sebuah van.
Manakala satu lagi kes berlaku pada 27 Januari pukul 8 malam di hadapan pusat membeli belah Klang Parade, Klang telah digagalkan oleh seorang bekas anggota polis yang kebetulan lalu di situ. Beliau telah nampak seorang lelaki bertopi keledar bersama rakannya yang menaiki motosikal mengekori kanak-kanak tersebut. Budak perempuan tersebut telah menjerit apabila tangannya telah dicapai oleh lelaki itu. Apabila ditegur lelaki tersebut melepaskan budak perempuan itu dan memecut dengan motornya.
Pihak polis telah pun mempunyai dua fotofit yang baru tetapi ianya tidak akan diedarkan kepada orang ramai buat masa ini. Ini adalah kerana fotofit ini tidak sama dengan fotofit yang dikeluarkan pada 9 Januari lalu dan pihak polis tidak mahu mengelirukan orang ramai. Buat masa ini pihak polis mempunyai perancangannya yang tersendiri bagi meningkatkan gerakan mengesan Sharlinie Mohd Nashar.
Dilaporkan juga dua orang lelaki dan seorang wanita telah datang menemui bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, mereka mendakwa mampu membantu kes kehilangan Sharlinie dan hanya akan mendedahkan maklumat itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Salah satu sebab mengapa Sharlinie sukar dikesan mungkin kerana rupa parasnya sekarang tidak serupa dengan gambar posternya. Gambar Sharlinie yang telah botak dan bertudung boleh dilihat di Sharlinie Lima Tahun Hari Ini.
Marilah kita sama-sama terus berdoa agar adik Sharlinie selamat dan akan dapat kembali bersama-sama keluarganya, insyaAllah.
Technorati Tags: azhad, sharlinie, culik, hilang
Pilihan raya umum 2008 akan diadakan pada 8 Mac ini dan seramai 10,922,139 orang rakyat Malaysia adalah layak untuk mengundi pada hari tersebut. Mereka yang layak ini adalah rakyat Malaysia yang telah berumur 21 tahun ke atas dan telah mendaftarkan diri mereka untuk menjadi seorang pemilih.
03 8885 6600
Bagi pilihan raya umum ke 12 ini daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 lalu akan digunakan. Ini bermakna hanya mereka yang telah mendaftar pada atau sebelum 31 Disember 2007 sahaja boleh mengundi. Manakala mereka yang mendaftar pada dan selepas 1 Januari 2008 terpaksa menunggu pilihan raya yang datang untuk melaksanakan hak anda.Bagi mereka yang telah berumur 21 tahun tetapi langsung tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pemilih, anda tidak akan layak untuk mengundi. Sebenarnya mudah sahaja untuk mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Pendaftaran boleh boleh dibuat di mana-mana pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya atau pejabat-pejabat pos berkomputer atau kaunter-kaunter sementara SPR yang dibuka di tempat-tempat awam.
Menjelang pilihan raya umum kali ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyediakan Pusat Panggilan SPR 03-8885 6600 untuk orang ramai. Pusat panggilan ini bagi memudahkan orang ramai menyemak samada nama mereka tersenarai dalam Daftar Pemilih yang terbaru. Ini penting untuk mereka yang baru mendaftar dan tidak pernah mengundi sebelum ini.
Mereka yang pernah mengundi pun boleh menyemak nama mereka untuk kepastian, lebih-lebih lagi jika mereka ada membuat perubahan alamat dalam rekod daftar pemilih. Maklumat yang boleh diperolehi daripada pusat ini ialah kawasan mengundi untuk Parlimen dan Negeri, pusat mengundi, saluran peti undi, nombor siri pemilih dan waktu mengundi dengan hanya menyatakan nombor kad pengenalan.
Pusat Panggilan SPR ini akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari sehingga ditamatkan perkhidmatannya pada pukul 5 petang 8 Mac 2008. Maklumat yang sama boleh juga diperolehi sepanjang tahun dengan melayari laman web Surahanjaya Pilihan Raya di Semak Daftar Pemilih.
Technorati Tags: azhad, pilihan raya, daftar pemilih, suruhanjaya pilihan raya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa bagi Pilihan Raya Umum ke 12 akan diadakan dengan tarikh penamaan calon pada hari Ahad 24 Februari dan tarikh pengundian pada hari Sabtu 8 Mac. Ini telah dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Ab. Rashid Ab.Rahman di satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya.
Pilihan raya umum 2008 ini akan melibatkan pertandingan untuk merebut sebanyak 222 kerusi Dewan Rakyat untuk Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk. Ini tidak termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana telah mengadakan pilihan raya negeri dalam tahun 2006.
penamaan calon 24 Februari
Pilihan Raya Umum Ke12 yang akan diadakan pada hari Sabtu 8 Mac 2008 ini memberi tempoh berkempen selama tigabelas hari. Ini sebenarnya tempoh yang paling lama berbanding dengan beberapa pilihan raya yang lalu. Pilihan raya umum 2004 dahulu cuma lapan hari, pilihan raya umum 1999 pula sembilan hari dan pilihan raya umum 1986, 1990 dan 1995, 10 hari.pengundian 8 Mac
Mengikut rekod tempoh berkempen yang paling lama ialah semasa pilihan raya umum 1955 iaitu 42 hari. Selepas itu tempoh berkempen telah dikurangkan pada setiap kali pilihan raya umum di mana pada pilihan raya umum 1959, 1964, 1969 35 hari, 1974 16 hari, 1978 17 hari dan 1982 15 hari.Disepanjang tempoh berkempen ini kita akan dapat menyaksikan kesemua parti politik yang bertanding akan mengeluarkan kenyataan dan hujah kenapa pengundi mesti memilih mereka dan bukannya parti lawan. Berbagai teknik dan usaha akan dilakukan bagi menyokong perjuangan masing-masing.
Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 terdapat seramai 10,922,139 pengundi yang layak mengundi iaitu 10,701,054 merupakan pengundi biasa dan 221.085 pula adalah pengundi pos. Hanya mereka yang namanya terdapat dalam daftar tersebut sahaja yang boleh mengundi pada 8 Mac kelak.
Mereka inilah yang akan memegang amanah untuk memilih wakil untuk membentuk kerajaan selama lima tahun lagi di peringkat negara dan negeri. Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi daripada 219 kerusi di peringkat Parlimen dan 453 kerusi daripada 505 kerusi diperingkat negeri di mana hanya kerajaan negeri Kelantan tidak diterajui oleh Barisan Nasional tetapi PAS.
Bagaimanakah pula keputusan pilihan raya umum ke 12 ini nanti? Semuanya akan terjawab pada awal 9 Mac dan penentunya adalah undi rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih.
Technorati Tags: azhad, pilihan raya, undi, calon, wakil rakyat, parlimen, dewan undangan negeri
Tanda tanya yang telah berlegar beberapa minggu kebelakangan ini telah terjawab pada tengahari 13 Februari 2008. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memilih tarikh ini untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 12 diadakan. Pengumuman ini telah dibuat pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dari pejabat beliau di Putrajaya.
Pada masa yang sama semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak juga dinasihatkan agar dibubarkan supaya pilihan raya negeri boleh dijalankan secara serentak. Perdana Menteri telah mengadap Yang di Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin pada sebelah paginya untuk mendapat perkenan baginda.
ini pilihan raya ke 12
Satu penggal Parlimen bersamaan dengan lima tahun tetapi selepas pilihan raya umum 1969, Parlimen sering dibubarkan awal untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Begitu juga kali ini penggal Parlimen sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 depan dan ini bermakna ianya dibubarkan 15 bulan lebih awal.Perlembagaan Persekutuan ada menggariskan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, pilihan raya telah berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja dari tarikh Parlimen dibubarkan. Pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 umpamanya dijalankan dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.
Sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum kali ke 12 ini. Manakala semasa pilihan raya umum 2004 yang lalu, sejumlah 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri telah menjadi rebutan.
Pada ketika itu Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Bebas masing-masing satu kerusi. Manakala di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional memperolehi 453 kerusi, PAS 36 kerusi, DAP 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi.
Difahamkan terdapat kira-kira 700,000 orang pengundi baru daripada sejumlah 10.9 juta pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Para pengundi boleh menyemak daftar pemilih secara online untuk memastikan tempat mengundi dan nama masing-masing ada tersenarai. Untuk pertama kalinya peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian akan diperkenalkan.
Tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi untuk pilihan raya umum ke 12 ini akan hanya diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya bermesyuarat. Walaupun tarikhnya belum diketahui semua parti politik pasti telah pun mengerakkan jentera pilihan raya masing-masing.
Technorati Tags: azhad, parlimen, dewan rakyat, dewan undangan negeri, pilihan raya
Sebelum ini saya ada menulis tentang beberapa masalah disiplin pelajar walaupun sekolah baru sahaja dibuka selama tiga minggu pada tahun ini. Cerita bagaimana seorang pelajar yang maut setelah jatuh daripada tingkat dua sekolahnya, ketua pengawas dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga mendapat jahitan di kepala dan kisah seorang pelajar tingkatan satu yang dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan dua dan tiga ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Pelajar Sekolah.
Sementara itu pada tahun lepas pula saya ada menulis tentang beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk menanggani masalah disiplin ini. Cerita tentang bagaimana pentingnya peranan ibubapa, keluarga, sekolah dan rakan sebaya. Malah arah tuju sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada peperiksaan ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Sekolah.
ponteng sekolah
Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.
Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.
Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.
Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.
Pada tahun lepas Kementerian Pelajaran ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Perubahan yang dicadangkan ini juga membabitkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila ianya dilaksanakan tahun ini pihak kementerian berharap masalah ponteng sekolah akan dapat dibendung.
Semoga secara beransur-ansur masalah disiplin pelajar sekolah ini akan dapat dikurangkan. Di masa akan datang saya akan menyentuh tentang cara terbaik untuk mengendalikan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.
Technorati Tags: azhad, pelajar.sekolah, disiplin, ponteng
Bermula dengan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri sebagai juara Akademi al-Quran yang pertama dan diikuti oleh Anuar Hasin yang bergelar juara bagi musim yang kedua. Kini pencarian untuk peserta dan seterusnya juara bagi Akademi al-Quran musim ketiga telah pun bermula. Uji bakat rancangan Akademi al-Quran musim ketiga sedang berlangsung sekarang di beberapa lokasi.
Berikut adalah senarai tarikh dan lokasi uji bakat untuk Akademi al-Quran 3;
2 & 3 Februari 2008
Perkampungan Hadhari, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Terengganu
5 & 6 Februari 2008
Balai Islam Kota Baharu, Kota Baharu, Kelantan
9 & 10 Februari 2008
Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah
12 & 13 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri, Georgetown, Pulau Pinang
15 & 16 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
18 & 19 Februari 2008
Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor
21 & 22 Februari 2008
Masjid Al-Azim, Melaka
24 & 25 Februari 2008
Dewan Kompleks Agama Islam, Johor Bahru, Johor
28 & 29 Februari 2008
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang
Mereka yang berminat untuk menyertai Akademi al-Quran 3 jangan lupa untuk menghadiri uji bakat ini. Warganegara Malaysia yang berumur antara 15 sehingga 25 tahun layak untuk menghadiri sesi uji bakat yang disenaraikan di atas.
Akademi Al-Quran 3 peringkat akhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Jun 2008.
Technorati Tags: azhad, akademi, al-quran, akademi al-quran, ujibakat
Hari ini sepatutnya adalah hari yang menggembirakan bagi Sharlinie dan keluarganya. Lima tahun yang lalu pada hari ini Sharlinie telah dilahirkan. Setelah 21 hari kanak-kanak yang berumur 5 tahun ini hilang belum ada lagi tanda-tanda dia akan dijumpai. Sudah puas ibu dan bapa Sharlinie merayu kepada orang yang bertanggungjawab menculik anak mereka supaya memulangkan semula Sharlinie.
Tanpa sebarang majlis sambutan cuma ingatan kepada anak yang disayangi sahaja. Tiada kek, tiada hadiah, tiada suasana riuh suara kanak-kanak cuma rasa rindu dengan doa mengharapkan kepulangan yang dinanti-nanti. Ulangtahun kelahiran Sharlinie kali ini pasti menyayatkan hati keluarganya. Khabarnya majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat akan diadakan.
Setakat ini beratus ribu poster telah diedarkan dan berbelas ribu rumah yang telah diperiksa. Liputan yang meluas media cetak dan elektronik memastikan semua rakyat Malaysia tahu bahawa seorang kanak-kanak berumur 5 tahun telah hilang. Talian khas 1800-88-5464 juga telah diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai Sharlinie.

Sebenarnya orang ramai boleh menjadi lebih perihatin dengan lebih peka terhadap apa yang berlaku di kawasan setempat masing-masing terutamanya jiran-jiran terdekat. Sharlinie tentu disorok di suatu tempat dikalangan kita dan mereka yang berhampiran patut ada melihat atau mendengar sesuatu yang mencurigakan.
Jika anda adalah jiran itu, segeralah hubungi talian khas Sharlinie di 1800-88-5464 supaya kesangsian anda itu akan terjawab. Anda juga mungkin orang yang akan menemukan semula seorang anak dengan seorang ibu yang merinduinya.
Nota: Terima kasih kepada Siti Zabidah yang menghantar melalui emel gambar-gambar Sharlinie di atas yang diperolehi daripada wahdi.blogspot.com
Technorati Tags: azhad, sharlinie, hilang, keluarga, gambar sharlinie
Bekas Presiden Indonesia, Suharto telah mengembuskan nafas terakhir di sisi enam orang anaknya pada pukul 1.10 petang 27 Januari 2008 waktu tempatan atau 2.10 petang waktu Malaysia akibat kegagalan pelbagai organ dalaman selepas keadaan kesihatannya berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina, Jakarta Selatan pada 4 Jan lepas.
Pengumuman kematian Suharto telah dibuat oleh seorang pegawai polis, Mejar Dicky Sondani kepada pemberita dan bekas Menteri Setiausaha Negara Indonesia Moerdiono melalui siaran radio tempatan ke seluruh negara itu sejurus selepas pasukan Doktor Presiden yang merawat Suharto mengesahkan kematian bekas presiden itu.
Haji Muhammad Soeharto atau Suharto telah dilahirkan pada 8 Jun 1921 di Yogyajarta. Allahyarham Suharto telah berkahwin dengan Siti Hartinah atau Ibu Tien dan mempunyai enam orang anak iaitu Siti Hardijanti Rukmana atau Tutut, Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Titiek, Hutomo Mandala Putra atau Tommy dan Mamiek.
Allahyarham Suharto telah mula memegang jawatan Presiden Indonesia bermula dari tahun 1967 mengambil alih kuasa daripada Presiden Indonesia yang pertama, Soekarno. Allahyarham memegang kuasa sehingga tahun 1998 dengan menyerahkan tampuk pimpinan kepada B.J. Habibie, Naib Presiden Republik Indonesia ketika itu. Allahyarham terpaksa melepaskan kuasa berikutan huru-hara dan tunjuk perasaan besar-besaran yang tercetus akibat krisis ekonomi Asia 1997-1998 serta tekanan politik dan dari pihak tentera.
Di awal pemerintahan selama 32 tahun itu, Allahyarham telah memperkenalkan Ketertiban Baru atau Orde Baru dan juga menamatkan kempen Ganyang Malaysia. Pelbagai pihak masih berdebat mengenai pendekatan Allahyarham ketika menerajui pemerintahan Indonesia yang turut memperlihatkan negara itu menikmati pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.
Selepas tidak lagi menjadi orang nombor satu di Indonesia, Allahyarham lebih banyak menghabiskan masa yang terluang di kediamannya di Jakarta. Kesihatan Allahyarham juga terganggu dengan beberapa kali keluar masuk hospital kerana masalah jantung dan pendarahan dalaman. Kali terakhir dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina pada 4 Januari sehinggalah mengembuskan nafasnya yang terakhir di hospital berkenaan pada 27 Januari 2008.
Allahyarham telah selamat dikebumikan di Astana Giri Bangun, Solo, Jawa Tengah. Malaysia telah diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada istiadat pemakaman berkenaan dengan diiringi Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari mulai 27 Januari.
Maklumat lanjut tentang diri dan karier politik Allahyarham boleh dibaca di Wikipedia Suharto.
Technorati Tags: azhad, presiden, indonesia, suharto
![Reblog this post [with Zemanta]](http://img.zemanta.com/reblog_e.png?x-id=5974a025-1f80-416b-abc6-8e0b7806db9c)
![Reblog this post [with Zemanta]](http://img.zemanta.com/reblog_e.png?x-id=974d92c6-4777-460a-a68a-9f7b916744c8)


























