Pemimpin parti pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto telah terbunuh dalam satu kejadian serangan berani mati di satu perhimpunan di Taman Liaquaf Bagh Rawalpindi pada petang hari Khamis 27 Disember. Belum dapat dipastikan samada Benazir Bhutto telah terkena tembakan atau serpihan letupan bom. Benazir Bhutto yang cedera di kepala dan leher telah dikejarkan ke Hospital Besar Rawalpindi dan di situ doktor telah mengesahkan kematian beliau.

Benazir BhuttoKejadian berlaku semasa Benazir Bhutto sedang memasuki kereta beliau untuk meninggalkan perhimpunan kempen piliharaya beliau. Menurut saksi seorang penunggang motosikal telah menembak ke arah kereta Benazir dan selepas itu meletupkan dirinya. Setakat ini dilaporkan seramai 22 orang telah terbunuh dalam letupan bom tersebut.

Sebelum ini di Karachi pada 18 Oktober, Benazir Bhutto telah terselamat apabila seorang pembunuh berani mati telah menyebabkan hampir 150 orang terbunuh dalam perarakan sambutan kepulangan beliau ke Pakistan selepas hidup dalam buangan selama 8 tahun di Dubai.

Benazir Bhutto yang dilahirkan pada 21 Jun 1953 adalah anak sulong dari empat orang adik beradik. Beliau telah memperolehi ijazah dalam bidang politik dari Universiti Harvard dan Oxford. Beliau telah terpilih menjadi perdana menteri wanita pertama Pakistan dalam tahun 1988 sebelum dipecat dalam tahun 1990. Beliau sekali lagi berjaya memegang jawatan perdana menteri dalam tahun 1993 sebelum ditewaskan oleh Nawaz Sharif dalam tahun 1996.

Bapa beliau Zulfikar Ali Bhutto adalah pengasas Pakistan People's Party (PPP) dan telah menjadi presiden kemudian perdana menteri Pakistan dari 1971 sehingga 1977. Benazir Bhutto telah menerajui PPP pada tahun 1979 selepas bapa belau dijatuhkan hukuman mati di bawah pemerintahan tentera General Mohammad Zia-ul-Haq.

Dalam tahun 1999, Benazir Bhutto bersama-sama suami beliau, Asif Ali Zardan telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun dan denda $8.6 juta. Ketika itu beliau berada di luar negara dan memilih untuk tidak kembali ke Pakistan. Selepas presiden Pervez Musharraf memberi jaminan tidak akan mendakwa beliau terhadap kes-kes rasuah tersebut, beliau telah kembali ke Pakistan pada bulan Oktober 2007 lalu.

Selain bapa beliau yang dihukum gantung, adik beliau Mir Murtaza telah terbunuh bersama-sama 6 orang lagi dalam satu kejadian tembak-menembak dengan polis di rumah Murtaza. Adik beliau Shahnawaz pula telah meninggal dunia dalam satu kematian yang misteri di Perancis dalam tahun 1985. Benazir Bhutto meninggalkan suami bersama-sama dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Maklumat terkini dan lebih lanjut boleh didapati di CNN tentang Benazir Bhutto.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 28.12.07 2 comments

Keputusan Penilaian Menengah Rendah atau PMR telah diumumkan hari ini. Seramai 469,401 orang calon telah menduduki PMR pada 1 sehingga 5 Oktober 2007 yang lalu dan daripada jumlah itu seramai 437,888 adalah calon dari sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran. Bakinya adalah calon dari sekolah kelolaan kerajaan negeri, sekolah swasta dan calon persendirian.

Seramai 27,668 atau 5.9 peratus daripada 469,401 calon ini telah memperolehi Grade A untuk semua matapelajaran yang diambil. Ini adalah lebih baik berbanding dengan tahun lepas seramai 4.5 peratus dan 4.9 peratus bagi tahun 2005.

Sementara itu terdapat 559 orang calon telah mendapat Grade E untuk semua matapelajaran berbanding 524 orang calon pada tahun 2006 dan 569 orang calon pada tahun 2005. Grade E merupakan grade yang paling rendah dan ini bermakna calon-calon ini gagal mencapai tahap minimum peperiksaan ini. Sesuatu mesti dilakukan bagi mengurangkan angka ini di masa akan datang walaupun jumlahnya kecil berbanding dengan calon yang yang cemerlang.

5.9% semua matapelajaran Grade A

Pada tahun ini terdapat seramai 968 orang calon pelajar OKU dan 5 daripada mereka mendapat Grade A.

Jurang perbezaan calon yang lulus dalam matapejaran Matematik dan Sains antara sekolah di bandar dan di luar bandar tidaklah begitu ketara. Bagi matapelajaran Matematik calon di bandar mencapai kelulusan 88.2 peratus tahun ini berbanding 84.5 peratus tahun lepas. Sementara calon di luar bandar mencapai kelulusan 84.5 peratus tahun ini berbanding 79.2 peratus tahun lepas. Bagi matapelajaran Sains pula, tahun ini calon di bandar mencapai 89.4 peratus manakala di luar bandar 88.2 peratus.

Mereka yang berminat dan memenuhi syarat boleh memohon untuk memasuki tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh (SBP), maktab rendah mara (MRSM), sekolah menengah teknik (SMT) atau maktab tentera diraja (MTD).

Mereka yang berminat bolehlah menyemak laman web berikut; Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tahun 2008, Syarat Kemasukan Ke MRSM, Kemasukan ke MTD.

Bagi mereka yang mendapat 5A dalam UPSR yang lalu dan telah memohon untuk belajar di sekolah berasrama penuh boleh pergi ke Semakan Tawaran Ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh Sesi 2008

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 27.12.07 6 comments

Selamat Menyambut Hari Raya Korban



Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 20.12.07 1 comments

Google Zeitgeist 2007Pihak Google telah mengeluarkan laporan Google Zeitgeist 2007 yang menyenaraikan carian tertinggi bagi tahun 2007. Ini termasuk untuk seluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja. Berikut adalah petikan daripada laporan tersebut;

Fastest Rising (global)

  1. iphone
  2. badoo
  3. facebook
  4. dailymotion
  5. webkinz
  6. youtube
  7. ebuddy
  8. second life
  9. hi5
  10. club penguin

Fastest Rising (U.S.)

  1. iphone
  2. webkinz
  3. tmz
  4. transformers
  5. youtube
  6. club penguin
  7. myspace
  8. heroes
  9. facebook
  10. anna nicole smith

Fastest Falling (global)

  1. world cup
  2. mozart
  3. fifa
  4. rebelde
  5. kazaa
  6. xanga
  7. webdetente
  8. sudoku
  9. shakira
  10. mp3

Sebelum itu Yahoo telah mengeluarkan laporan Top Trends Search 2007 yang juga menyenaraikan carian utama di internet. Laporan ini juga menyediakan senarai carian tertinggi mengikut kategori antaranya berita, alam sekitar, orang terkenal, teknologi dan sukan. Carian tertinggi untuk Yahoo! Kids dan del.icio.us juga ada.

Berikut adalah carian yang tertinggi di Yahoo;
  1. Britney Spears
  2. WWE
  3. Paris Hilton
  4. Naruto
  5. Beyonce
  6. Lindsay Lohan
  7. Rune Scape
  8. Fantasy Football
  9. Fergie
  10. Jessica Alba

Jika ingin mengetahui carian tertinggi terkini boleh diperolehi di Yahoo Buzz Top Overall Searches.

Maklumat ini secara tidak langsung menunjukkan minat dan kecenderungan mereka yang melayari internet. Jika data yang sama boleh diperolehi untuk mereka yang online di Malaysia sahaja, apakah agak carian tertinggi di negara kita?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 14.12.07 1 comments

Hujung tahun menjelma lagi begitu juga dengan air yang melimpah ke dalam rumah-rumah di negeri Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pada tahun lepas kita telah dikejutkan dengan banjir besar yang melanda negeri Johor yang mengakibatkan kerugian besar termasuk harta benda dan nyawa. Bagi meringankan kesusahan yang dihadapai oleh mangsa banjir, semua pihak sudah lebih bersedia kali ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Setakat semalam di Johor, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini ialah seramai 13,945 orang daripada 3,353 keluarga. Sementara di Terengganu, jumlah mangsa banjir ialah 260 orang daripada 63 keluarga. Manakala di Kelantan pula jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan ialah seramai 2,600 orang. Di Pahang, bilangan penduduk di negeri itu yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan kini mencecah 10,097 orang.

Jumlah korban semasa musim banjir setakat semalam adalah 10 orang. Diharapkan angka ini tidak meningkat lagi. Apa yang penting ialah semua pihak mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan situasi banjir ini bagi meminimakan risiko kerosakan dan kehilangan harta-benda serta nyawa.

Berikut adalah adalah panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa;

Persediaan menghadapi banjir

* Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda seperti sistem amaran banjir dan lokasi pusat pemindahan
* Periksa dan bersihkan semua lubang air semada longkang atau saluran perparitan
* Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan

Tindakan semasa banjir

Di dalam rumah

* Dengar pengumuman dari radio dan televisyen
* Simpan air bersih
* Bawa masuk perabut dari luar rumah
* Simpan dokumen penting di tempat yang selamat
* Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Ikut laluan yang ditentukan

Di luar rumah

* Berpindah awal dan semasa hari siang, ianya lebih mudah dan selamat
* Pergi ke tempat tinggi dan selamat
* Jangan bersiar-siar di kawasan banjir
* Jangan sentuh kabel atau wayar yang jatuh
* Jangan minum air yang tercemar
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Awasi kanak-kanak

Tindakan selepas banjir

* Jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan
* Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya
* Jangan terus memasuki rumah. Periksa kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap.
* Lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan
* Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan di lantai rumah. Periksa kehadiran binatang atau serangga berbisa dan berbahaya
* Periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar.
* Periksa kerosakan tangki septik
* Buang bahan-bahan makanan dan minuman yang terendam
* Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak berkuasa

Jika kenderaan anda terperangkap di dalam banjir

* Kurangkan kelajuan kenderaan anda ketika hujan
* Nyalakan lampu kerana ini membolehkan anda melihat dengan lebih jelas
* Pilih laluan yang lebih selamat
* Jangan melalui jalan yang sedang dinaiki air
* Jangan memandu di dalam keadaan hujan yang terlalu lebat
* Berhenti di tempat yang selamat dan nyalakan lampu isyarat kecemasan (hazard light)
* Ikut arahan pihak berkuasa
* Jika enjin kenderaan anda mati di tengah banjir, keluar segera dan beredar ke kawasan yang lebih tinggi
* Jangan cemas dan bersedialah untuk meninggalkan kenderaan anda
* Segera tinggalkan kenderaan anda apabila keadaan bertambah buruk
* Segera ke tempat yang tinggi dan dapatkan bantuan
* Hubungi polis atau bomba untuk mendapatkan bantuan
* Ingat, tindakan awal dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang yang disayangi


Berikut pula adalah panduan penjagaan kesihatan semasa banjir;

• Sentiasa minum air yang telah dimasak
• Makan makanan yang dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman
• Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah
• Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling
• Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
• Guna tandas yang sempurna
• Buang sampah di tempat yang betul
• Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
• Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 12.12.07 0 comments

Sukan SEA ke-24 sedang berlangsung sekarang di Thailand dari 6 hingga 15 Disember ini. Kejohanan kali ini menyaksikan 43 acara sukan dipertandingkan dan membabitkan 10 negara Asean dan Timor Leste. Pihak penganjur menyebut seramai 5,175 atlet, 1,967 pegawai dan 1,000 delegasi teknikal mengambil bahagian dalam temasya sukan dwitahunan ini. Sukan SEA di Thailand ini berlangsung di tiga tempat iaitu Korat, Bangkok dan Chonburi (Pattaya). Daripada.43 sukan yang dipertandingkan, Korat menjadi tuan rumah kepada 30 sukan manakala Bangkok kepada 6 acara dan baki 7 lagi di Chonburi.

Malaysia akan menyertai 41 acara sukan daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan kali ini. Walaupun begitu Malaysia telah menarik diri dari turut serta dalam acara sepaktakraw berikutan pihak penganjur tetap menggunakan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation. Pasukan bola sepak negara pula telah gagal untuk melangkah ke peringkat separuh akhir berbanding dua tahun lepas mereka telah memungut pingat gangsa.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 723 orang atlet dan 307 orang pegawai. 723 orang atlet ini terdiri daripada atlet Kategori A dan B. Atlet Kategori A ialah mereka yang layak mengikut merit atau dikenalpasti berpotensi memenangi pingat dan perbelanjaan mereka akan ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia. Manakala atlet Kategori B ialah mereka yang tidak layak mengikut merit, mereka perlu membayar sendiri perbelanjaan mereka dan akan dibayar balik jika memenangi pingat.

..sasaran 64 emas..

Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan athlet negara akan memperolehi 64 pingat emas daripada sejumlah 475 emas yang menjadi rebutan di dalam kejohanan sukan kali ini. Setakat pukul 4 hari ini kontinjen negara telah mengumpul 25 emas, 23 perak dan 49 gangsa. Pasukan menembak 50m Rifle Prone wanita merupakan penyumbang pingat emas pertama negara di temasya sukan ini. Semasa Sukan Sea ke 23 di Filipina, Malaysia telah merangkul 61 emas, 49 perak dan 65 gandsa. Secara keseluruhannya Sukan SEA kali ini menawarkan sejumlah 475 emas, 475 perak dan 627 pingat gangsa.

Sementara itu atlet individu atau berpasukan yang mempamerkan prestasi cemerlang akan menerima ganjaran tunai di bawah anugerah Atlet Sukan Terbaik Manulife/Majlis Olimpik Malaysia. Beberapa perkara akan menjadi panduan untuk menerima insentif ini, antaranya adalah kemenangan pingat emas, bilangan pingat, selain kejayaan memecah rekod kebangsaan atau temasya.

Maklumat lanjut dan terkini tentang Sukan SEA ke-24 ini boleh diperolehi di Utusan Online Khas Sukan SEA 2007, SEA Games Korat 2007 News Alert @ OCM Library dan di laman web rasmi 24th Sea Games.


Terkini : Setelah Sukan Sea ke-24 ini tamat, Malaysia telah berjaya memungut 68 pingat emas, 52 pingat perak dan 96 pingat gangsa. Secara keseluruhan pula Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Thailand.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 11.12.07 0 comments

Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2007) telah diadakan dari 4 hingga 8 Disember 2007 di Langkawi dengan komponen aeroangkasa berpusat di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri manakala komponen maritim di Awana Porto Malai. Salah satu tarikan utama LIMA 2007 ini adalah pertunjukan udara dan diantara yang membuat persembahan ialah pasukan Red Arrows.

Red Arrows
Foto : RAF Red Arrows

Pasukan Red Arrows dari Tentera Udara Diraja British telah diitubuhkan dengan rasminya pada 1965, pasukan ini sudah membuat lebih daripada 4,000 pertunjukan di 52 negara. Semasa di LIMA 2007 setiap pertunjukan udara mereka mengambil masa selama 23 minit menggunakan sembilan pesawat Hawk Red Arrows yang menampilkan 25 aksi pergerakan aerobatik terhebat termasuk "Fountain Split" dan "Big Battle Break"

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin, angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Datuk Tony Fernandes dan seorang wartawan Bernama telah turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki penerbangan aerobatik Red Arrows semasa mereka membuat persembahan di LIMA 2007.

Red Arrows

Sebelum ke Langkawi untuk LIMA 2007, mereka terlebih dahulu telah membuat satu pertunjukan udara di Pengkalan Tentera Udara Subang bersama-sama dengan pasukan aerobatik Suryakiran dari Tentera Udara India. Pasukan Red Arrows juga telah membuat lintas hormat di Putrajaya dan Menara Berkembar Petronas semasa mula-mula tiba di Malaysia dari Dubai sebelum mendarat di Subang.

Pasukan Red Arrows dianggotai oleh Flight Lt Ben Murphy, Flight Lt Andrew Keith, Flight Lt Greg Perilleux, Flight Lt Damian Ellacott, Flight Lt Jim Turner, Flight Lt Paul O' Grady, Squadran Leaders Jas Hawker, Scott Morley dan Martin Higgins.

Mereka yang ingin menyaksikan persembahan mereka tetapi terlepas peluang kali ini mungkin terpaksa menunggu dua tahun lagi semasa LIMA 2009 itupun jika mereka dijemput lagi. Walaupun begitu rakaman video persembahan mereka di Subang boleh dilihat di Red Arrows Aerobatic Show dan di Air Show Highlights. Maklumat lanjut tentang mereka boleh juga didapati di RAF Red Arrows.

Pertunjukan udara di LIMA 2007 turut disertai oleh beberapa pesawat perjuang TUDM iaitu MIG-29, Sukkhoi SU-30MKM dan F/A 18-D Hornet. Turut terlibat ialah pesawat TUDM KC-130 Hercules, Hawks, helikopter Nuri dan A-109. Tentera Udara DiRaja Malaysia sendiri pernah mempunyai satu pasukan aerobatik sendiri satu masa dahulu. Pasukan ini yang menggunakan pesawat Pilatus dikenali sebagai Taming Sari.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 10.12.07 1 comments

Lebih dari satu minggu yang lepas pada hari Ahad 25 November 2007 telah berlangsung satu lagi perhimpunan orang ramai di Kuala Lumpur. Tumpuan kali ini adalah di sekitar Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak berhampiran dengan Kedutaan British. Menurut penganjurnya iaitu Hindu Rights Action Force atau HINDRAF. tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan British di Jalan Ampang.

Berikut adalah petikan yang diperolehi daripada wikipedia;

On 30th August 2007, a class action on behalf of Malaysian Indians was filed at The Royal Courts of Justice in London to sue the UK Government for US$4 trillion (US$1 million for every Malaysian Indian) for bringing Indians as indentured laborers into Malaya, "exploiting them for 150 years" and thereafter failing to protect the minority Indians' rights in the Federal Constitution when independence was granted. As the group, which represents mainly working-class Indo-Malaysians, could not afford the legal fees required, a petition was circulated with 100,000 signatures to be presented to Queen Elizabeth of the United Kingdom to appoint a Queen's counsel to argue the case.

Memorandum tentang perkara yang disebut di ataslah mungkin yang cuba diserahkan kepada Kedutaan British pada hari tersebut. Di samping itu terdapat satu lagi surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri British, Gordon Brown yang mungkin juga hendak diserahkan pada masa yang sama.

Di dalam surat tersebut ada disebut tentang Kuil Hindu Mariaman di Kampung Jawa, Klang serta beberapa kuil lain yang telah dirobohkan, dakwaan pembersihan kaum India dan beberapa diskriminasi lain terhadap kaum India di Malaysia. Isi kandungan penuh surat tersebut boleh dibaca di blog Rocky Bru. Kesahihan dan dakwaan surat ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Pelbagai reaksi dan maklumbalas mengenai perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu dan kandungan surat kepada Perdana Menteri British telah diperkatakan. Sebahagian daripadanya boleh dibaca di blog Jeff Ooi, carian perkataan dan tag HINDRAF di Technorati, carian Hindraf di Google Web Search dan Google Blog Search. Anda juga tentu mempunyai pandangan anda yang tersendiri tentang isu ini.

Walau apapun yang diperjuangkan namum keamanan dan keselamatan orang awam serta kesejahteraan negara perlulah diutamakan. Pihak yang berkuasa juga perlulah menangani perkara ini dengan bijak dan adil.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 4.12.07 0 comments

Begitu pantas masa berlalu kerana pada 30 November yang baru lalu merupakan hari yang ke 100 kali terakhir Nurin dilihat masih hidup. Secara kebetulan pula pada hari tersebut tiga ahli jawatankuasa Citizens For Nurin Alert telah berjumpa dengan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Perbincangan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Jalan Raja Laut itu telah berlangsung selama lebih satu jam.

Citizens For Nurin Alert telah diwakili oleh En Jasni Abdul Jalil, Pn Hanizah Hashim dan Pn Nuraina Samad. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diwakili oleh Cik Meme Zainal Rashid, Dato' Shamsiah Ad Rahman, Pn Nor Amni Yusoff dan En Abdullah Hanafi.

Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk memberi peluang kepada jawatankuasa Citizens For Nurin Alert untuk memberi penerangan tentang Nurin Alert dan perbincangan bagaimana ianya boleh digabungkan dengan cadangan Polisi Perlindungan Kanak-kanak. Difahamkan perjumpaan ini telah berjalan dengan jayanya dan telah dipersetujui selepas ini satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan.

Gambaran lebih jelas tentang perjumpaan ini boleh dibaca di laman blog Nurin Jazlin, Tembam dan Nuraina.

Nationwide Urgent Response Information Network - NURIN Alert telah mula melangkah beberapa tapak dan sudah pasti ianya akan terus maju kehadapan sehingga pada satu hari kelak ianya akan mula beroperasi dan dapat membantu mereka yang memerlukan khidmatnya.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 2.12.07 4 comments

Kini telah tiba bulan yang terakhir bagi tahun 2007. Para pelajar semuanya sedang bercuti ketika ini. Begitu juga yang bekerja ada yang mengambil kesempatan musim cuti sekolah ini untuk menghabiskan cuti tahunan yang tidak boleh dibawa ke tahun hadapan. Mereka yang bekerja sendiri pula pun tidak ketinggalan yang bercuti supaya dapat bersama-sama dengan anak-anak. Secara amnya memang ramai yang bercuti di hujung tahun ini.

Tidak kiralah status anda samada sudah berkeluarga maupun masih bujang, cuti patutlah dirancang supaya kita akan mendapat memanfaatkannya dengan baik. Salah satu perkara yang patut dipertimbangkan ialah bagaimana masa cuti ini boleh mengeratkan ikatan kekeluargaan. Bagi ibubapa yang bekerja, semasa anak-anak bercuti inilah peluang untuk bersama-sama mereka dengan lebih mesra lagi.

Untuk bersama-sama anak-anak tidak semesti dilakukan dengan pergi bercuti ke tempat-tempat percutian atau peranginan sahaja. Malah di rumah juga boleh dilakukan berbagai aktiviti bersama sepanjang satu hari bercuti.

Bagi yang beragama Islam mungkin boleh dimulakan dengan sembahyang subuh berjemaah dan juga empat waktu sembahyang yang berikutnya. Selepas itu pastikan setiap waktu makan bermula dari sarapan dilakukan bersama-sama. Masa yang lain hendaklah diisikan dengan aktiviti yang melibatkan semua orang; ibu, bapa dan semua anak-anak. Sebenarnya jika kita pandai mengatur masa dan aktiviti harian, memang banyak yang boleh dilakukan bersama-sama seperti yang pernah saya tulis terdahulu di ikatan kekeluargaan.

Bagi yang bujang pula janganlah bila bercuti hanya hendak menghabis masa bersama-sama kekasih hati atau kawan-kawan sahaja. Apa kata kalau berpakat dengan adik beradik lain untuk mengambil cuti pada masa yang sama dan berkumpul ramai-ramai. Mungkin boleh diaturkan untuk pergi berkelah dan bersantai bersama-sama. Selain itu boleh juga berkumpul di rumah ibubapa atau salah seorang adik beradik. Selain merapatkan hubungan ibubapa dengan anak-anak, ikatan persaudaraan antara adik-beradik, biras dan sepupu juga boleh terus disemai.

Dewasa ini dengan masalah disiplin pelajar dan gejala sosial yang berleluasa di kalangan remaja salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan memperkukuhkan institusi keluarga. Jika setiap unit keluarga itu dianggotai oleh ahli yang baik sudah tentu akan menjurus kepada membentuk satu masyarakat yang harmoni.

Bilakah kali terakhir anda berkumpul bersama-sama ibubapa dan adik beradik selain semasa hari raya?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 1.12.07 0 comments

Subscribe here