Sharlinie Mohd Nashar telah hilang lebih daripada dua minggu lalu berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu dia sedang bermain dengan kakaknya Sharliena yang berusia 8 tahun. Sharlinie merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik, kakak sulongnya Nurul Amirah berumur 11 tahun.

mungkin rambut dipotong pendek

Sehingga ke hari ini usaha untuk mengesan kanak-kanak berumur 5 tahun ini masih giat dijalankan oleh berbagai pihak. Walaupun begitu pihak polis masih belum lagi menjumpai sebarang petunjuk baru yang boleh membantu mengesan Sharlinie. Menurut pihak polis ada kemungkinan rambut Sharlinie telah dipotong pendek dan bulu keningnya dinipiskan bagi menyukarkan orang ramai mengenali rupa parasnya. Kaedah yang sama juga telah dilakukan kepada Nurin Jazlin sehingga dia sukar dikenali bila dijumpai.

Di antara langkah yang sedang dilakukan oleh pihak polis ialah dengan memeriksa hampir 1,000 buah rumah sehari. Rumah-rumah yang diperiksa adalah yang terletak di sekitar daerah Petaling Jaya termasuk rumah kongsi pekerja asing. Operasi pemeriksaan ini dijalankan oleh anggota-anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya serta dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak Rukun Tetangga setempat juga turut memberi kerjasama dalam usaha memeriksa rumah di kawasan mereka.

Sementara itu pengamal perubatan Ikatan Bomoh Negara Sebelas Serangkai dan Ahli Jemaah Sabililah seramai 100 orang dari beberapa buah negeri telah berkumpul di rumah Sharlinie di Taman Medan bagi membantu mencari kanak-kanak itu mengikut kaedah tradisional. Selepas upacara itu mereka mendakwa Sharlinie masih berada di sekitar Taman Medan.

Tidak ketinggalan juga pelajar pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 9 tahun, telah memberi maklumat tentang salah satu lokasi kegiatan penculik Sharlinie. Adi Putra telah membawa ibubapa Sharlinie serta pemangku Ketua Polis Gombak dan pihak media untuk meninjau sebuah tempat di Ulu Yam. Menurut Adi Putra, kawasan itu adalah salah satu daripada markas penculik yang didakwa olehnya seramai lima orang dan mereka dikatakan sedang menuntut sejenis ilmu. Lokasi itu hanya untuk menguji ilmu mereka dan bukannya tempat mengurung Sharlinie.

Shamsul Ghazali Shamsuddin, bapa Yin atau Muhammad Nazrin, 6, yang hilang selama 15 hari pada Mac tahun lalu telah turut datang menziarah keluarga Sharlinie untuk memberi sokongan moral. Di samping itu Shamsul yang tinggal di Ipoh telah mencadangkan supaya ibubapa Sharlinie menggunakan khidmat pakar forensik hipnosis. Shamsul yang pernah mengalami trauma yang sama semasa anaknya Yin hilang tahun lepas berkata, forensik hipnosis ini adalah kaedah saintifik berasaskan psikologi.

Berbagai cara digunakan dan usaha dilakukan untuk mengesan lokasi adik Sharlinie Mohd Nashar yang telah hilang semenjak 9 Januari yang lalu. Malahan beribu-ribu poster telah diedarkan di seluruh negara termasuk di Thailand dan Singapura. Diharap keluarga Sharlinie tabah menghadapi dugaan ini dan sentiasa memohon kepada yang Esa. Semoga doa dan sembahyang hajat dari rakyat Malaysia akan dimakbulkan, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 25.1.08

2 comments

  1. Anonymous Says:
  2. Marilah kita warga Malaysia yang prihatin bersama-sama berdoa agar Sharlinie berada dalam keadaan yang selamat dan kembali ke pangkuan keluarga tersayang secepat mungkin. Saya juga berharap agar usaha pihak polis dan pelbagai pihak dapat menangkap penculik Sharlinie dan dibawa ke muka pengadilan.

     
  3. Azhad Says:
  4. Masa terus berlalu tapi diharap semua pihak tidak berputus asa agar terus mencari dan menjejak Sharlinie serta mereka yang bertanggungjawab menculik nya.

     

Post a Comment

Subscribe here